Rocky bantu jejak pemandu e-hailing - Utusan Malaysia

Rocky bantu jejak pemandu e-hailing

ROCKY, anjing baka German Shepherd yang berjaya menemukan pemandu e-hailing yang dilaporkan hilang di perkampungan Orang Asli Sungai Kapur, Ulu Geruntum dekat Gopeng, semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Penemuan sebuah kereta berhampiran perkampungan Orang Asli Sungai Kapur, Ulu Geruntum di sini, menimbulkan tanda tanya apabila kenderaan tersebut ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci.

Beberapa barangan peribadi termasuk kad pengenalan, pasport antarabangsa dan telefon bimbit disyaki milik pemilik kereta turut dijumpai dalam kenderaan tersebut.

Bagaimanapun, misteri kereta tersebut terungkai apabila seekor anjing baka German Shepherd bernama Rocky dari Unit Anjing Pengesan (K9) Kontinjen Perak berjaya menemukan pemilik kenderaan itu.

Lelaki berusia 32 tahun itu dijumpai pada pukul 2.30 petang dalam keadaan lemah dan kelaparan di atas bukit berhampiran kawasan perkuburan Orang Asli, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, kepintaran dan ketangkasan Rocky berjaya menemukan mangsa dalam tempoh tidak sampai 24 jam dilaporkan hilang.

Katanya, mangsa yang juga pemandu e-hailing itu dijumpai pada jarak 700 meter dari lokasi kereta Proton Saga miliknya yang ditinggalkan.

“Kita menerima maklumat kejadian itu Ahad lalu pada pukul 10.20 malam daripada tok batin yang curiga apabila melihat kenderaan tersebut ditinggalkan di kawasan berkenaan sejak petang.

“Tindakan mencari dan menyelamat dilakukan segera bagi mengesan pemilik kenderaan itu untuk mengelak kajadian yang tidak diingini berlaku.

“Semakan ke atas kereta itu mendapati ia milik seorang lelaki beralamat di Ayer Hitam, Pulau Pinang dan pemeriksaan kompol pada nombor chasis didapati tiada apa-apa kesalahan mahupun mangsa juga tidak memiliki rekod jenayah lampau,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Nazri berkata, pihak polis turut membuat semakan dengan syarikat e-hailing bagi mengetahui tugasan terakhir lelaki itu sebelum dilaporkan hilang.

Beliau memberitahu, adik mangsa yang dimaklumkan kejadian tersebut ketika menghubungi telefon bimbit abangnya telah diminta membawa pakaian, cadar dan tuala milik lelaki itu untuk membantu carian Rocky.

“Operasi mencari dan menyelamat lelaki itu bermula pada pukul 12.30 tengah hari dengan anjing berusia empat tahun itu memulakan pencarian di lokasi kenderaan ditinggalkan.

“Lelaki itu berjaya dijumpai hanya selepas dua jam operasi dijalankan dalam keadaan selamat namun lemah dan kelaparan. Mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN