Rakyat dan pelaburan Malaysia di Kazakhstan selamat - Duta Kazakhstan - Utusan Malaysia

Rakyat dan pelaburan Malaysia di Kazakhstan selamat – Duta Kazakhstan

ANGGOTA keselamatan mengadakan kawalan bagi mengembalikan keamanan selepas berlaku pergolakan di Kazakhstan. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia diberikan jaminan bahawa pelaburan dan rakyatnya di Kazakhstan adalah selamat berikutan rusuhan yang berlaku di negara tersebut minggu lalu.

Duta Kazakhstan ke Malaysia, Bulat Sugurbayev berkata, kebanyakan pelaburan yang bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM4.18 bilion) adalah berkaitan minyak dan gas, dan beliau akan menghubungi setiap pelabur Malaysia untuk mengesahkan keselamatan mereka.

“Kazakhstan menjamin perlindungan terhadap misi diplomatik asing, termasuk juga syarikat dan pelabur asing.

“Tidak akan ada perubahan dari segi iklim pelaburan. Kami komited dan berusaha untuk meningkatkan nilai ekonomi pasaran, kedaulatan undang-undang dan perlindungan pelaburan,” katanya dalam sidang akhbar.

Situasi di Kazakhstan semakin stabil selepas pergolakan yang berlaku minggu lalu.

Sabtu lalu, Wisma Putra memaklumkan dalam kenyataannya bahawa semua 79 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan Malaysia adalah selamat.

Jumlah tersebut termasuk diplomat dan tanggungannya di kedutaan dan pejabat Tourism Malaysia dan Matrade di Almaty.

Menurut Sugurbayev, setakat ini belum ada permohonan pemindahan daripada rakyat Malaysia dan rakyat Malaysia boleh membuat penerbangan dari mana-mana lapangan terbang di negara itu apabila lapangan terbang antarabangsa di Almaty yang dirampas pengganas sebelum ini dijangka beroperasi untuk penerbangan sivil dalam masa terdekat.

Pihak berkuasa Kazakhstan menjelaskan, pergolakan tersebut bermula sebagai demonstrasi aman pada 2 Januari lalu di Almaty dan 10 lagi wilayah yang menentang kenaikan harga barangan runcit untuk gas petroleum cecair namun kemudiannya diambil alih oleh kumpulan ekstremis yang ganas.

Tanpa mengemukakan apa-apa permintaan, kumpulan tersebut memulakan keganasan, membunuh dan merosakkan infrastruktur penting seperti kedai senjata, simpanan senjata polis dan pasukan keselamatan selain pejabat datuk bandar dan studio televisyen.

Sugurbayev turut menekankan, arahan tembak untuk bunuh yang dikeluarkan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev adalah untuk menghentikan keganasan di Almaty dan arahan tersebut disasarkan kepada pengganas sahaja.

“Kami secara jelas membezakan pemprotes aman dengan kumpulan pengganas. Semua tindakan tempur aktif disasarkan hanya kepada pengganas,” katanya. – UTTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN