Pengemis raih RM2,300 sehari, JKM rujuk kepada imigresen - Utusan Malaysia

Pengemis raih RM2,300 sehari, JKM rujuk kepada imigresen

TANGKAP layar hantaran tular di Facebook mengenai peminta sedekah yang mampu meraih kutipan mencecah RM2,300 sehari dalam kejadian yang berlaku di Ampangan, Seremban, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kes tular melibatkan peminta sedekah yang meraih kutipan sehingga RM2,300 sehari di bandar ini telah dirujuk kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, pihaknya telah menyiasat kejadian tersebut dan ia berlaku di Pasar Malam Ampangan pada 25 Januari lalu.

Menurutnya, tinjauan oleh Unit Penguat Kuasa, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Seremban menemui dua  wanita berumur 40 dan 35 tahun sedang mengemis. 

“Turut ada bersama mereka adalah anak masing-masing yang berumur dua tahun. Hasil siasatan menunjukkan mereka adalah warga asing dan tinggal di Sungai Buloh, Selangor serta menaiki teksi untuk mengemis di Ampangan. 

“JKM telah menjelaskan kepada kedua-dua peminta sedekah berkenaan bahawa perbuatan mengemis adalah salah di sisi undang-undang,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, Rosnah berkata, pihaknya berdepan  kesukaran untuk menyiasat lebih lanjut mengenai latar belakang mereka termasuk pendapatan daripada aktiviti salah berkenaan disebabkan mereka seolah-olah tidak memahami setiap kali disoal.

“JKM sudah maklumkan kepada Jabatan Imigresen dan pihak berkenaan akan mengambil tindakan bersesuaian,” katanya.

Kelmarin tular di media sosial apabila seorang pengguna Facebook memuat naik hantara mengenai warga asing itu yang menyamar sebagai peminta sedekah sekitar Seremban sehingga meraih kutipan sebanyak RM2,300 sehari.

Wanita warga asing itu dilihat menjadikan sehelai tudung sebagai ‘modal’ meraih simpati orang ramai.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN