ARAU: Pas masih berharap UMNO sedia bekerjasama dengan parti itu menerusi Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekali gus mengelak pertembungan sesama sendiri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, ruang perbincangan serta rundingan tersebut sentiasa berjalan agar tidak berlaku pertembungan yang bakal menguntungkan Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, Pas turut meminta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama dalam usaha penyatuan ummah tersebut.
“Seperti kenyataan Timbalan Presiden Pas sebelum ini, kita harap kerjasama dengan UMNO supaya tidak bertembung. Kita akan terus berunding bagi merealisasikan pertembungan satu lawan satu.
“Jika ditakdirkan tidak berjaya, Pas tidak akan putus asa berusaha ke arah penyatuan ummah ini yang sememangnya menjadi perjuangan kita,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Pas dikatakan istiqamah bersama Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRN Johor walaupun terdapat dakwaan parti itu akan berbincang dengan UMNO menerusi MN.
Sementara itu, ketika diminta mengulas jumlah kerusi yang bakal ditandingi Pas dalam PRN Johor, Hashim berkata, perkara tersebut masih dalam perbincangan dengan apa yang pasti melebihi satu kerusi yang dimenangi dalam PRU14.
Dalam pada itu, Hashim berkata, Pas terbuka mengadakan rundingan dengan mana-mana parti termasuk Parti Amanah Negara (Amanah) jika parti itu meninggalkan DAP.- UTUSAN











