PUTRAJAYA: Nilai hartanah di kawasan-kawasan terjejas banjir dijangka merudum paling minimum dalam 10 peratus termasuk di kawasan penempatan yang sebelum itu tidak pernah dilanda bencana alam itu.
Susut nilai harga hartanah terutama rumah-rumah akan berterusan bertahun-tahun selagi tidak ada langkah penyelesaian daripada pihak berkuasa tempatan dan Persekutuan dalam menyelesaikan masalah banjir.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail berkata, gangguan kepada nilai dan harga tanah atau rumah di kawasan itu terutama di Shah Alam, Selangor pada awal nilaian sekitar 10 peratus dan dijangka akan terus meningkat bergantung kepada pelan penyelesaian masalah banjir.
Menurut beliau, kemerosotan tersebut akan turut memberi kesan kepada nilai sewaan kediaman mahupun premis perniagaan.
Beliau memberitahu, secara asasnya, mana-mana pembeli atau penyewa di semua tempat sudah tentu mengambil kira risiko di lokasi pilihan seperti terdedah banjir, kedudukan tanah rendah atau pernah dilanda bencana sebelum itu.
“Apabila berlaku fenomena banjir, persepsi daripada pembeli hartanah adalah untuk mengelak gangguan risiko ini, tentu permintaan akan merosot sekali gus menyebabkan gangguan pergerakan harga jualan atau sewaan.
“Penyewa sedia ada di kawasan banjir pula akan membuat keputusan berpindah ke tempat lain dan rumah itu ditinggalkan kosong dengan tidak dapat disewakan, akhirnya pemilik rumah tersebut yang masih membayar kepada bank tentu tidak dapat meneruskan bayaran pinjaman sehingga menimbulkan risiko lain pula,” kata beliau di sini semalam.
Ishak berkata, jika berlaku keadaan pemilik tidak mampu meneruskan pinjaman, maka pihak bank akan membuat lelongan awam dan ‘masuk’ kepada masalah lain pula dari segi permintaan orang untuk membeli rumah di situ.
Ini kerana, pihak bank akan membuat pengkelasan kawasan-kawasan berisiko dan dipercayai menjejaskan pembiayaan kerana kebanyakan institusi kewangan sukar untuk memberikan pinjaman jika adanya risiko-risiko seperti banjir melainkan terdapat pihak boleh beli secara tunai.
“Keadaan itulah menyebabkan akan berlaku gangguan harga hartanah merudum, penjual terpaksa menawarkan harga diskaun kepada mereka yang mampu beli secara tunai atau orang yang nak beli itu kerana terpaksa beli di kawasan berkenaan kerana tidak ada pilihan.
“Berdasarkan pengalaman di kawasan perumahan yang terdedah risiko banjir dengan kawasan lain yang tidak berisiko memang boleh lihat ketara perbezaan harga pasaran nilai hartanah merosot dalam tempoh jangka pendek dan sederhana,” katanya.
Bagaimanapun, menurut beliau, persepsi kepada kedudukan nilai hartanah akan berubah apabila kerajaan mengambil tindakan menyelesaikan banjir seperti membina tebatan banjir atau membaiki sistem perparitan.
Jika tiada perancangan ke arah itu, kata beliau, nilai rumah kekal merosot dan memberi kesan kebimbangan dalam kalangan pembeli baharu, pelabur atau penyewa kerana keadaan risiko itu adalah nyata berlaku dan masalah kemerosotan itu boleh bersifat jangka panjang.
Dalam pada itu, Pengerusi Ikatan Eksekutif dan Teknokrat Malaysia, Ariffahmi Ab. Rahman berkata, secara umumnya nilai hartanah akan jatuh apabila berlaku situasi negatif di sesuatu kawasan seperti terletak berdekatan tanah perkuburan atau kerap berlaku kejadian jenayah.
Bagaimanapun, menurut beliau, dalam konteks fenomena banjir, kemungkinan kejatuhan nilai hartanah tidak ketara dan bersifat sementara.
Katanya, mengambil kira situasi banjir di Kelantan pada 2014, nilai hartanah kembali meningkat selepas lima tahun apabila penambahbaikan dilaksanakan di kawasan tersebut bagi mengelak banjir berulang.
“Ada sedikit terjejas kejatuhan nilai, pulangan sewa serta pajakan tahunan atau harga belian, sedikit sebanyak terjejas.
“Cuma jika kerajaan dalam masa singkat dalam dua atau tiga bulan ini memperkenalkan teknologi kaedah ‘mengeluarkan’ kawasan ini daripada masalah banjir, maka dalam beberapa tahun persepsi kembali pulih dan nilai pasaran hartanah kembali meningkat,” katanya.
Pada 18 Disember 2021, lapan negeri terutama Selangor dilanda banjir luar biasa apabila seluruh kawasan kediaman, perniagaan dan kenderaan di dua kawasan iaitu di Taman Sri Muda, Shah Alam dan Taman Sri Nanding Hulu Langat bagai dilanda tsunami.
Dianggarkan semasa bencana sebanyak 4,400 rumah di Taman Sri Muda rosak manakala ribuan kereta ditenggelami air.- UTUSAN










