PETALING JAYA: Nasib tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih ‘tergantung’ kerana sama ada mereka bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atau tidak terletak kepada keputusan pucuk pimpinan parti.
Mereka adalah ADUN Sedili, Rasman Ithnain; ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari dan ADUN Endau, Alwiyah Talib yang merupakan wakil rakyat BN dan kemudiannya menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Rasman dan Alwiyah menyerahkan nasib mereka kepada pimpinan Bersatu sama ada mereka diletakkan semula sebagai calon PRN Johor yang bakal berlangsung pada masa terdekat.
Bagaimanapun, Alwiyah berkata, beliau bersedia sekiranya terpilih semula sebagai calon kerana masih mahu berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan dimenanginya sejak 2018.
“Insya-Allah kalau diberikan peluang. Namun, terserah kepada parti Bersatu, sama kekal di kawasan Endau atau tempat lain,” katanya.
Dalam pada itu, Rasman pula menyerahkan nasib kepada kepimpinan Bersatu.
“Terserah kepada parti,” kata Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi itu.
Sementara itu, Rosleli enggan mengulas berhubung kedudukan iaitu akan dicalonkan semula atau sebaliknya.
Beberapa hari selepas keputusan PRU-14, ketiga-tiga ADUN terlibat yang menang atas tiket BN menyertai Bersatu selepas kekalahan BN buat pertama kali selepas 60 tahun menjadi kerajaan.
Keputusan PRU-14 menyaksikan BN hanya menang 19 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) pula 36 DUN.- UTUSAN










