DUNGUN: Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, di sini merupakan satu-satunya sekolah di Terengganu yang terjejas akibat banjir, namun kalangan 66 muridnya bersedia untuk memulakan persekolahan esok.
Seorang ibu, Zunaidah Othman, 32, berkata, walaupun kediamannya dinaiki air lebih dua meter, namun barangan penting termasuk kelengkapan sekolah anak, Mohammad Afiq Wan Mohd. Bahari, 11, dapat diselamatkan.
“Saya dan suami membuat persediaan awal dengan menyimpan barangan itu di bahagian siling rumah bagi mengelak buku teks mahu pun baju sekolah anak rosak akibat banjir.
“Saya tidak membeli pakaian baharu untuk anak kerana baju lama masih boleh dipakai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagi Tengku Noor Suriati Tengku Abdul Rahman, 38, dia lega apabila pihak sekolah membenarkan murid memakai pakaian sukan buat sementara waktu semasa sesi persekolahan.
“Baju sekolah tiga anak yang berusia antara lapan ke 11 tahun semuanya ada tetapi dalam keadaan cuaca tidak menentu, saya risau pakaian mereka lekas kotor,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Pasir Raja, Abdul Jabar Habib Mohamad berkata, kerja-kerja pembersihan dan nyah kuman selesai dijalankan selepas premis itu dinaiki air setinggi dua meter.
“Kita bersedia untuk beroperasi sejak Khamis lalu lagi walaupun sebelum ini hampir keseluruhan kawasan sekolah termasuk kelas dan asrama dipenuhi lumpur.
“Hanya sedikit sahaja perabot yang rosak kerana kebanyakannya disimpan di tempat tinggi sebelum musim tengkujuh,” katanya.
Abdul Jabar berkata, pihaknya turut mengenal pasti kira-kira 20 murid yang terjejas dalam bencana banjir. – UTUSAN