PUTRAJAYA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak mengambil tindakan segera dengan menyediakan sejumlah peruntukan bagi pelaksanaan kerja menggantikan kayu penghadang koridor di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang, Baram susulan insiden murid terjatuh dari beranda pada Rabu lalu.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kerja-kerja tersebut termasuk pembaikan kecil lain kini giat dilaksanakan dan sebahagiannya telah siap.
“Dua hari lalu kami menerima laporan berkaitan murid tahun dua di SK Long Bemang yang terjatuh dari beranda sekolah kerana kayu penghadang reput.
“Saya terus meminta semakan dibuat untuk melihat sama ada sekolah ini berada dalam senarai projek pembangunan atau penyelenggaraan bangunan daif di sekolah Kementerian Pendidikan (KPM).
“Saya dimaklumkan sekolah ini memang telah ada dalam senarai tersebut,” katanya pada hantaran Facebook di sini hari ini.
Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya akan mengusahakan sebaik mungkin supaya proses tender bagi pembinaan bangunan dan menaik taraf fasiliti SK Long Bemang dibuat selewat-lewatnya bulan Februari ini.
“KPM akan memastikan pelaksanaan projek penggantian ini lancar dan proses pelantikan kontraktor selepas tender dibuka kelak dimuktamadkan secepat mungkin bagi membolehkan fasiliti yang lebih kondusif dan selamat untuk warga sekolah dapat disediakan.
“Selain itu, KPM sentiasa berusaha untuk menyediakan infrastruktur sekolah yang selesa dan selamat demi kelangsungan pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, seorang murid perempuan dari SK Long Bemang luka kecil di kepala, bahu dan tangan kanannya selepas terjatuh dari beranda sekolah kayu, Rabu lalu.
Sementara itu, Radzi berkata, beliau mendoakan agar adik Aliccia terus diberikan kesihatan yang baik dan dapat kembali ke sekolah.- UTUSAN