Mangsa bah lega terima sumbangan RM1,000 - Utusan Malaysia

Mangsa bah lega terima sumbangan RM1,000

ZURAIDAH Sapine menunjukkan gambar keadaan dalam rumahnya yang rosak akibat dinaiki air banjir. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan di sini lega apabila menerima bantuan RM1,000 kerajaan bagi meringankan musibah dibadai bah kali kedua dalam tempoh dua minggu.

Seorang mangsa, Zuraidah Sapine, 48, berkata, banjir kali ini lebih buruk berbanding bulan lepas kerana paras air naik lebih tinggi dalam tempoh singkat.

Menurutnya, banyak harta-benda musnah dihanyutkan arus deras sungai yang terletak berhampiran rumahnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Peti ais, kelengkapan dapur, almari pakaian semuanya rosak. Hanya dokumen dan barang penting dapat diselamatkan.

“Mujur kerajaan memberi sumbangan RM1,000 kepada mangsa banjir, dapat juga me­ringankan beban kami. Bantuan wang tunai ini membolehkan saya membeli barang keperluan asas untuk memulakan kehidupan semula,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, P. Suppiah, 37, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian besar selepas empat kenderaannya rosak kerana ditenggelami air bah.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk termasuk baucar penggantian kenderaan peribadi kepada mangsa banjir.

“Bantuan ini akan dimanfaatkan sebaiknya me­mandang­kan pendapatan saya masih belum stabil selepas terjejas teruk disebabkan Co­vid-19,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×