PETALING JAYA: Malaysia telah menyerahkan surat cara ratifikasi (IOR) Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kepada Sekretariat ASEAN pada 17 Januari lalu.
Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), penyerahan IOR itu dibuat menerusi mandat yang diberikan oleh Jemaah Menteri pada 12 Januari untuk Malaysia meratifikasi perjanjian tersebut.
“Selaras dengan Artikel 20.6 Perjanjian RCEP yang memperuntukkan bahawa Perjanjian ini akan berkuat kuasa selepas 60 hari surat cara ratifikasi diserahkan kepada Sekretariat ASEAN selaku Depositary Perjanjian RCEP, Malaysia akan mula menguatkuasakan Perjanjian ini pada 18 Mac 2022.
“Dengan penyerahan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN, Malaysia akan menyertai 11 negara penandatangan lain yang telah melengkapkan proses ratifikasi iaitu Singapura, China, Jepun, Brunei, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand dan Korea Selatan,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










