Rancang bina hospital, pusat beli-belah di Ipoh menjelang 2025
IPOH: Kumpulan Sunway menyasarkan untuk membuka sebuah hospital bertaraf antarabangsa dan pusat beli-belah baharu di Ipoh menjelang 2025.
Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berkata, projek mega Kumpulan Sunway itu yang berkeluasan 1,350 ekar terdiri daripada sebuah pusat perubatan tertiari dan sebuah pusat beli-belah.
Menurutnya, pusat perubatan bernilai RM350 juta yang mempunyai 200 katil itu bakal buka pada 2024 untuk memenuhi keperluan selaras dengan pertumbuhan populasi bandar Ipoh.
“Pusat perubatan ini bakal memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan perubatan tertiari melalui pusat kanser yang komprehensif serta tumpuan kepada kesihatan wanita dan perubatan gaya hidup kesejahteraan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pecah tanah menaik taraf Jalan Tambun di sini, semalam yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menurut Jeffrey, pusat beli-belah dengan kawasan boleh disewa seluas 700, 000 kaki persegi dan 2,700 parkir, bakal menarik perhatian penduduk tempatan dan pengunjung luar yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan untuk melawat bandar raya ini.

Jeffrey berkata, pelaburan bernilai RM2 billion itu bakal memanfaatkan bukan sahaja komuniti tempatan dan para pengunjung Bandar Sunway Ipoh, tetapi memenuhi peningkatan keperluan keseluruhan Koridor Pembangunan Timur yang berperanan sebagai pemangkin pembangunan bandar.
“Pelaburan kumpulan yang bernilai RM2 billion pada beberapa tahun akan datang merangkumi Sunway Onsen Suites, sebuah suite residensi dengan tiga blok.
“Kadar jualan menara pertama telah pun mencecah 90 peratus, Pusat Perubatan Sunway Ipoh di samping sebuah kompleks jagaan hidup berbantu, hab pendidikan yang berpusat sekeliling sebuah universiti baharu dan sebuah pusat beli-belah,” katanya.
Sementara itu, mengenai program hari ini, Jeffrey berkata, usaha memperluaskan Jalan Tambun dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan aksesibiliti Koridor Pembangunan Timur, Ipoh.
“Kerja naik taraf ini bernilai RM16 juta merupakan usaha terkini dalam siri kolaborasi yang dijalankan bersama Sunway dan kerajaan negeri sejak awal 2000 untuk merangsang ekonomi bandar,” katanya.
Projek naik taraf sebahagian Jalan Tambun itu sepanjang 5.2 kiometer merupakan kerjasama Kumpulan Sunway dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melibatkan kos RM16.535 juta.
Peruntukan berjumlah RM 8.0 juta disediakan oleh kerajaan negeri manakala selebihnya di tanggung oleh pihak Sunway sejumlah RM 8.35 juta melibatkan pembinaan jalan, pengambilan balik tanah dan perlantikan jurutera perunding.
Projek kolaborasi bagi menaik taraf Jalan Tambun itu bertujuan untuk melancarkan aliran lalu lintas di jalan tersebut selari dengan pembangunan di kawasan Bandar Sunway Ipoh.
Projek naik taraf tersebut telah bermula dari simpang susur masuk Jalan Persekutuan 240 (Ampang-Jelapang) sehingga ke persimpangan lampu isyarat Taman Perpaduan. – UTUSAN










