Kempen kitar semula pandu lalu dapat sambutan - Utusan Malaysia

Kempen kitar semula pandu lalu dapat sambutan

Kadar kitar semula kebangsaan meningkat kepada 31.52 peratus dengan jumlah barangan kitar semula mencecah 4.3 juta tan di seluruh negara pada tahun lalu.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Budaya kitar semula dan pengasingan sisa di rumah merupakan salah satu langkah proaktif yang boleh membantu mengurangkan janaan sisa buangan di tempat pelupusan sampah.

Amalan baik ini juga secara tidak langsung dapat membendung masalah peningkatan sampah yang menjadi punca berlakunya bencana banjir.

Bagi menggalakkan lagi amalan itu, Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Alam Flora Environmental Solution (AFES) mengambil inisiatif menjalankan kempen kitar semula secara pandu lalu bagi memudahkan orang ramai berbuat sedemikian.

Program Kitar Semula Putrajaya itu diadakan buat pertama kalinya pada 15 Januari lalu bertempat di Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Pudina, Presint 17 dan berjaya mengumpul sejumlah 851 kilogram (kg) barangan kitar semula.

Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Dr. Mohd Helmi Abdul Hamid berkata, jumlah tersebut menunjukkan program kitar semula alaf baharu itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

“Sambutan sangat menggalakkan daripada penduduk kerana program ini lebih memudahkan mereka untuk melakukan kitar semula.

“Mereka juga tidak perlu risau jika ada banyak barang yang mahu dikitar semula kerana proses penghantaran yang lebih mudah dan dibantu kru.

“Paling penting, tidak perlu pergi ke pusat kitar semula kerana kami yang datang kepada mereka dan mereka hanya perlu ‘singgah’ di khemah kami untuk menghantar barang yang mahu dikitar semula,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Antara bahan kitar semula yang paling banyak dikumpulkan adalah minyak masak iaitu sebanyak 535 kg diikuti kertas campur (101kg), kotak (84kg), tin (66kg), plastik (26kg), kertas hitam putih (17kg) serta majalah dan suratkhabar masing-masing 11 kg.

Barang-barang tersebut dinilai mengikut jenis masing-masing dengan bayaran bermula 45 sen hingga RM2.20 sen.

SASAR KUTIPAN SATU TAN
Dengan kejayaan pertama di Pudina, PPj yakin akan terus dapat mencapai kutipan lebih tinggi apabila kempen berkenaan dijalankan di kawasan perumahan yang lain.

Sasaran kutipan dianggarkan sehingga satu tan bagi mencapai objektif Putrajaya sebagai bandar hijau menjelang tahun 2025.

“Sudah tentu program ini akan diteruskan lagi di kawasan-kawasan lain pada masa akan datang bagi memudahkan semua komuniti mengambil bahagian.

“Program ini juga diharap dapat mengurangkan lima peratus sisa yang dihantar ke pelupusan, sekali gus menurunkan janaan sisa buangan,” ujarnya.

Oleh itu, pihak PPj berharap penduduk setempat terus memberikan sokongan terhadap usaha Reduce, Reuse dan Recycle (3R) sebagai langkah utama dalam pembangunan kelestarian alam sekitar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.