PETALING JAYA: Selepas lima tahun kerajaan memperkenalkan sistem kontrak yang merekrut kira-kira 23,000 doktor di negara ini, pegawai perubatan terbabit kini berpeluang mendapat tajaan biasiswa bagi melanjutkan pengajian menerusi Program Latihan Kepakaran (PLK) seterusnya bergelar doktor pakar.
Menerusi manfaat tersebut, doktor-doktor lantikan kontrak menangguhkan sementara rancangan melakukan siri kedua mogok yang sepatutnya dalam proses mencari tarikh.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, walaupun berterima kasih ditawarkan PLK namun mereka tetap akan meneruskan perjuangan untuk diserap ke jawatan tetap.
“Kami akan beri kerajaan peluang memberitahu semua perincian mengenai lantikan kami dan manfaat lain.
“Jika terbukti ia tidak dapat dilaksanakan, maka kami tiada pilihan selain meneruskan rancangan kami (mogok), cuma masanya belum ditetapkan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, pihaknya juga menunggu peluang untuk mengadakan semula mesyuarat dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Mengenai tawaran tersebut, kata beliau, doktor kontrak kini layak mendapat tajaan biasiswa menerusi Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) yang membolehkan mereka meneruskan pengajian ke peringkat kepakaran iaitu tajaan sama seperti diberikan kepada pegawai perubatan tetap.
Tawaran baharu itu berdasarkan surat rasmi bertarikh 5 Januari 2022 daripada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai pelantikan secara kontrak perubatan, pergigian dan farmasi selepas khidmat wajib bagi kesinambungan perkhidmatan dan atau persediaan pengajian kepakaran.
Tawaran pelantikan semula secara kontrak akan dibuat berdasarkan kohort lantikan secara berperingkat menerusi Portal Semakan Kerjaya KKM mulai 1 Januari 2022 merangkumi pegawai perubatan (kohort lantikan 2017 dan pegawai yang telah dilanjutkan latihan siswazah dan lengkap khidmat wajib 2022), pegawai pergigian (kohort lantikan 2019) dan pegawai farmasi (kohort lantikan 2019).
Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan dijangka membuat pengumuman mengenai penyelesaian kepada masalah terhadap doktor kontrak dalam tempoh dua minggu lagi.
Menurut beliau, buat masa ini, kerajaan sedang berusaha menyelesaikan perkara tersebut bersama pihak-pihak yang terlibat.
“Kementerian Kesihatan sedang berusaha dengan agensi kerajaan lain untuk menyelesaikan isu doktor kontrak dengan sebaik mungkin.
“Dalam seminggu dua lagi, kementerian akan membuat pengumuman mengenai penyelesaian doktor kontrak,” kata Noor Hisham ketika dihubungi semalam.
Mengenai gesaan utama untuk mendapat jawatan tetap, Noor Hisham memberitahu, semua pihak perlu menunggu maklum balas daripada kerajaan.
“Tunggu penyelesaian daripada kementerian dan kerajaan,” katanya.- UTUSAN










