IPOH: DAP tidak terkesan dengan tindakan wakil rakyatnya yang meninggalkan parti itu.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, perkara yang sama pernah berlaku sebelum ini namun DAP tetap menjadi sebuah parti yang kuat dan stabil.
Beliau yang mengulas tindakan beberapa wakil rakyat DAP meninggalkan parti itu terutama selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Sarawak berkata, mereka tidak sepatutnya lari meninggalkan parti.
“Benda seperti ini (wakil rakyat DAP tinggalkan parti) sudah pernah berlaku dulu, tapi tidak ada kesan pada DAP.
“Logiknya, kalau tak suka pimpinan yang ada, lawanlah, bukan lari tinggalkan parti.
“DAP tak sekat ahli lawan dan bertanding jawatan dalam parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abdul Aziz yang juga Ketua Pembangkang Perak mengulas laporan akhbar ini hari ini DAP memerlukan kepimpinan baharu selepas beberapa wakil rakyatnya meninggalkan parti itu terutama selepas kalah teruk dalam PRN Sabah, Melaka dan Sarawak.
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bekas ahli Dewan Negara di Sabah mengumumkan keluar parti dengan alasan hilang kepercayaan pada pucuk pimpinan parti itu.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, struktur kekuatan DAP dijangka terus goyah jika tidak mengambil pendekatan drastik sedangkan tanda-tanda kejatuhan DAP sudah kelihatan sejak selepas tiga pilihan raya negeri.
Katanya, ‘dinasti Lim’ yang menerajui kepimpinan DAP wajar digantikan dengan pemimpin lebih segar dengan mengetengahkan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.- UTUSAN











