Dadah: Pelakon Niezam Zaidi didenda RM4,000  - Utusan Malaysia

Dadah: Pelakon Niezam Zaidi didenda RM4,000 

PELAKON, Niezam Zaidi didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini atas pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan Oktober lalu. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Pelakon Niezam Zaidi bersama pengarah filem dan penolong pengarah didenda Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan memiliki dan mengambil dadah pada Oktober lalu.

Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari menjatuhkan hukuman itu terhadap Niezam, 30; Mohd. Latiff Zami, 50, dan Saiful Zaidrin Ismail, 48, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Niezam atau nama sebenarnya Muhamad Niezam Mohd. Zaidi didenda RM4,000 manakala Mohd. Latiff (RM3,800) dan Saiful Zaidrin (RM4,000).

Mahkamah turut memerintahkan Niezam menjalani pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun manakala Mohd. Latiff dan Saiful Zaidrin masing-masing selama tiga dan dua tahun.

Kesemua mereka juga diperintahkan menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Ketiga-tiga mereka membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pindaan, Niezam didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 0.60 gram, Mohd. Latiff (0.20 gram kanabis) dan Saiful Zaidrin (0.03 gram methamphetamine) di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, kira-kira pukul 7.15, 10 Oktober 2021.

Pendakwaan ke atas Niezam dan Mohd. Latiff dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Saiful Zaidrin pula didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta sama yang boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketiga-tiga mereka juga mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis THC dan Methamphetamine ke dalam badan di pejabat narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar antara pukul 9.50 hingga 10.05 pagi, hari yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan tidak lebih tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Hennie Soraya Hanafi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pada 10 Oktober lalu, ketiga-tiga mereka ditahan dalam serbuan di sebuah inap desa pada pukul 7.15 pagi.

Pemeriksaan di tiga bilik di rumah berkenaan menemui dadah jenis ganja dan syabu dianggarkan bernilai RM270.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah manakala seorang daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.