SHAH ALAM: Cuaca tidak menentu kebelakangan ini didakwa menjadi antara faktor pengeluaran telur ayam dan hasil tani negara semakin berkurangan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, faktor berkenaan bukan sahaja mempengaruhi pengeluaran sektor pertanian, malah melibatkan produktiviti haiwan ternakan dan perikanan.
Menurut beliau, kejadian banjir serta peningkatan harga bekalan makanan ayam yang diimport dari luar negara turut mempengaruhi kekurangan pengeluaran telur.
“Telur ikut trend… terutamanya bulan ini (Januari) hasilnya kurang tapi bulan depan (Februari) akan meningkat balik kerana perkara ini (pengeluaran telur ayam) bermusim.
“Kenaikan (harga) juga berdasarkan pesanan dan bekalan. Begitu juga banjir serta pekerja terjejas kerana Covid-19, sebab kalau tiada pekerja lagi sukar hendak keluarkan makanan, ayam, telur.
“Bekalan makanan (ayam), bahan mentah kita import, memang harga meningkat,” kata beliau pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor Kali Ke 44, di Hotel Mardhiyah di sini malam tadi.
Mengulas laporan media berhubung isu terbabit, beliau juga tidak menafikan kewujudan kawalan harga barang terbabit daripada pihak peruncit.
“Kita (kementerian) dapati, memang ada kebenaran berhubung kawalan harga (di pihak peruncit). Orang sentiasa berikan perhatian pada pengeluar. Kita mesti faham apa dia punya harga kos dan pengeluar.
“Tetapi peruncit, awak naikkan (harga). Jadi di situ kita akan sentiasa berikan perhatian dengan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerana kita membekalkan dan kementerian itu memastikan harga (tidak tinggi),” katanya.
Terdahulu, sebuah akhbar mendakwa bekalan telur ayam pelbagai gred di seluruh negara bukan sahaja semakin berkurangan, malah kebanyakan pasar raya serta kedai runcit berdepan masalah kehabisan stok sehingga rak yang menempatkan telur ayam didapati kosong.- UTUSAN