PETALING JAYA: Fenomena cuaca buruk termasuk hujan lebat yang melanda negara ini sejak Disember tahun lalu diramal berterusan sehingga Februari ini.
Pengaruh luruan monsun, tekanan rendah cuaca Malaysia dan taufan Rai menjadi tiga faktor utama yang menyebabkan musim tengkujuh kali ini dianggap terburuk dalam sejarah negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, ramalan cuaca tersebut dibuat berdasarkan tiga faktor berkenaan, malah musim tengkujuh dijangka berlarutan.
“Kita mendapati terdapat sistem cuaca tekanan rendah di Laut China Selatan dan itu menyebabkan negeri-negeri yang hampir dengan lautan itu turut terkesan.
“Luruan monsun dijangka menjadi lebih panjang dan mungkin berterusan hingga akhir Januari atau awal Februari.
“Sementara itu, taufan Rai yang terus membadai Filipina menjadi faktor Malaysia mengalami hujan lebat kerana terkena tempiasnya,” kata beliau.
Disember lalu, sebanyak 62,999 orang daripada 14,023 keluarga membabitkan lapan negeri iaitu Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang terlibat dalam banjir besar termasuk 50 mengjadi mangsa korban.
Dalam pada itu, Helmi berkata, MetMalaysia berusaha supaya dapat memberikan ramalan yang tepat bagi memastikan persiapan boleh dilakukan.
“Ramalan kami biasanya tujuh hari ke depan, namun jika terlalu awal maka ketepatannya mungkin berkurang sehingga 60 atau 70 peratus sahaja.
“Musim hujan ketika ini dijangka berterusan sehingga Februari bagi Semenanjung Malaysia dan hujung Januari bagi Sabah dan Sarawak. Untuk sekarang, Johor juga berada dalam pemantauan manakala Pahang masih membimbangkan.
“Kami dapat berikan ramalan untuk Sabah dan Sarawak sebelum ini bagi memudahkan persediaan penduduk kawasan yang terjejas untuk berpindah ke kawasan yang selamat selain menyelamatkan harta benda,” ujarnya
Sementara itu, banjir di Johor dan Melaka semakin memburuk apabila beberapa daerah di dua negeri itu mencatat kenaikan paras air menyebabkan mangsa terlibat dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), manakala Kelantan dan Terengganu keadaan mulai pulih.
Di JOHOR, hujan berterusan sejak kelmarin di beberapa daerah di negeri ini menyebabkan Kota Tinggi menjadi daerah ketiga dilanda bencana itu.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Ramunia di Kota Tinggi kini dibuka dengan 16 penduduk berlindung di situ setakat pukul 2 petang semalam.
Secara keseluruhan, 41 PPS beroperasi di Johor setakat semalam yang menempatkan 2,390 mangsa daripada 507 keluarga dari beberapa kampung dan kawasan penempatan lain.
Di Segamat keadaan banjir belum menunjukkan tanda-tanda pulih, sebaliknya pihak berkuasa terpaksa membuka beberapa lagi PPS menempatkan penduduk yang terjejas.
Antaranya PPS Balai raya Kampung Padang Kiambang (109 mangsa); Balai Islam Kampung Paya Dalam (21); Balairaya Kampung Mensudut Pindah (13); Balairaya Kampung Lubok Kepong (11) dan Sekolah Agama Kuala Paya (33).
Sementara itu, Tangkak terus merekodkan satu-satunya PPS yang beroperasi di daerah itu sejak semalam iaitu di Sekolah Agama Bandar Tangkak yang menempatkan 40 mangsa.
Di MELAKA, jumlah mangsa banjir terus menunjukkan peningkatan mendadak kepada 1,661 mangsa setakat pukul 4 petang tadi, berbanding hanya 1,122 orang ketika waktu pagi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Leftenan Kol. (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, sebanyak 19 buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di ketiga-tiga daerah iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.
Katanya, Alor Gajah mencatatkan kawasan paling banyak terjejas akibat hujan berterusan sejak Jumaat lalu, di mana sebanyak 14 penempatan penduduk ditenggelami air.
“Terdapat 10 PPS di buka di Alor Gajah yang menempatkan 720 mangsa daripada 195 keluarga. Antara kawasan yang terjejas adalah Kampung Gadek Dalam, Taman Seri Bayu, Pengkalan dan Kampung Panchor.
“PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Jelatang menempatkan paling ramai mangsa di daerah itu iaitu 215 orang,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, Melaka Tengah pula mencatatkan bilangan mangsa paling ramai dengan jumlah 868 orang terdiri daripada 217 keluarga.
Ujarnya, hanya dua PPS dibuka di Jasin iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu dan SK Seri Mendapat.
Di SEREMBAN: Jumlah mangsa banjir di tiga buah daerah iaitu Tampin, Jempol dan Kuala Pilah yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) kini meningkat 1,714 orang.
Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Negeri Sembilan memberitahu, sebanyak 16 PPS telah dibuka di tiga buah daerah tersebut sejak awal pagi semalam. – UTUSAN










