Coklat CnW setanding jenama antarabangsa - Utusan Malaysia

Coklat CnW setanding jenama antarabangsa

AISHAH Azizan menunjukkan antara produk berasaskan coklat yang dihasilkan kilangnya di Napoh, Jitra, Kedah, baru-baru ini, – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Minat yang mendalam dalam pembuatan coklat mendorong seorang usahawan, Aishah Azizan menceburi perniagaan tersebut walaupun bermula secara kecil-kecilan.

Aishah, 46, yang merupakan Pengarah Urusan ChocenWrapper Chocolate House (CnW) memulakan perniagaan dengan membuka sebuah kedai menjual coklat buatan tangan di Bandar Darulaman, Jitra di sini pada Julai 2007.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada peringkat awal, bekas eksekutif di sebuah syarikat swasta itu menghasilkan beraneka coklat buatan tangan dalam bentuk tablet, bar dan truffle yang setanding jenama antarabangsa.

Menurut Aishah, sejak kanak-kanak lagi beliau merupakan ‘hantu’ coklat kerana terlalu minat makan coklat dan sehingga sekarang masih berminat makan coklat.

Malah, katanya, beliau juga menceburi perniagaan coklat selepas mendapat dorongan daripada bapanya, Allahyarham Dr. Azizan Ismail yang juga bekas pengeluar produk kesihatan.

“Arwah bapa mencadangkan saya menceburi peniagaan coklat kerana dapat membantu meningkat kesihatan kepada orang ramai.

“Coklat sebenarnya mempunyai khasiat yang luar biasa terutamanya meningkatkan kesihatan minda dan otot serta saraf.

“Namun, ramai menganggap coklat boleh mengundang masalah kesihatan dan sering ‘dipandang serong’ oleh sesetengah pihak,” katanya ketika ditemui di kilang coklat Chocen Wrapper di Taman Industri KEDA, Napoh, Jitra di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun Aishah me­ngakui terdapat banyak cabaran yang hadapi pada awal perniagaannya walaupun terpaksa bersaing dengan coklat-coklat berjenama terkenal termasuk dari luar negara.

“Perniagaan coklat diusahakan itu mendapat sambutan yang membanggakan apabila coklat buatan tangan yang diusahakan dikenali pengguna dan disukai oleh ramai kanak-kanak.

AISHAH Azizan melihat pekerja-pekerjanya menghasilkan coklat yang ditempah pelanggan di kilang miliknya di Napoh, Jitra, Kedah, baru-baru ini. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Aishah menambah, beliau turut mengikuti beberapa kursus pembuatan coklat untuk memastikannya dapat mengeluarkan coklat yang lebih berkualiti.

Malah tambahnya, kursus-kursus pembuatan coklat itu juga terus ikuti walaupun telah menjalankan perniagaan tersebut.

Jelasnya, kebanyakan kursus yang diikuti itu dalam tempoh jangka pendek sahaja.

“Tanpa jemu saya mengikuti beberapa kursus pembuatan coklat di dalam dan luar negara. Antara kursus tersebut diadakan di Unipeq, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Lembaga Koko Malaysia serta institut pembuatan coklat di Jerman.

“Melalui kursus tersebut, saya dapat menambah ilmu dalam pemprosesan coklat termasuk menggunakan formulasi terbaik dihasilkan daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilakukan sendiri,” ujarnya.

Aishah memberitahu, pada 2010, beliau kemudian mengembangkan lagi perniagaannya dengan membuka sebuah kilang memproses coklat di Taman Industri KEDA, Napoh, Jitra di sini untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran coklat.

AISHAH Azizan menunjukkan mesin yang digunakan untuk pembuatan coklat di kilangnya di Napoh, Jitra, Kedah.

Jelasnya, beliau melabur kira-kira RM500,000 untuk membuka kilang tersebut termasuk membeli mesin dan perkakasan membuat coklat.

Katanya, perniagaannya berpindah ke kilang tersebut untuk meningatkan ‘production line’ dan kapasiti pengeluaran bagi memberikan lebih banyak pilihan produk coklat yang berkualiti.

“Kebanyakan coklat yang dihasilkan di kilang itu juga bertumpu kepada produk-produk yang berformula selain coklat kompaun.

“Selain itu, kilang tersebut juga mengeluarkan rangkaian produk bagi industri makanan dan pengeluaran cookies serta lain-lain produk konfeksioneri,” katanya.

Beliau menambah, pada masa ini, beliau menghasilkan tiga produk kesihatan berasaskan coklat hasil R&D sendiri.

Jelasnya, tiga produk kesihatan itu adalah coklat minda, Chocolight, coklat meningkatkan kecergasan badan, Sarcolat serta coklat kasih sayang, Intmac untuk pasangan suami dan isteri.

“Pada masa sama, kilang coklat itu juga mengeluarkan kira-kira 50 jenis coklat yang dijual pada harga antara 80 sen hingga RM50,” katanya.

Beliau menambah, CnW juga membantu usahawan yang ingin mengeluarkan produk sendiri (OEM) bagi produk-produk berasaskan coklat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×