IPOH: Satu alternatif penyelesaian akan dicari bagi membantu individu yang menjaja makanan di lampu isyarat di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pihaknya sedia maklum mengenai pertambahan penjaja di lampu isyarat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik balik tahun lalu.
Menurutnya, kerajaan negeri memahami kebanyakan mereka yang menjaja di lampu isyarat disebabkan desakan hidup mencari pendapatan tambahan.
“Mungkin disebabkan tuntutan hidup, mereka terpaksa buat macam itu, kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana berada dalam keadaan terdesak untuk mencari pendapatan tambahan.
“Saya juga ada membeli makanan dijual mereka dengan harapan cepat habis jualan dan boleh balik sebab tidak mahu mereka dalam keadaan bahaya dan mengganggu lalu lintas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pertambahan penjaja di lampu isyarat di Ipoh terutama sejak PKP ditarik tahun lalu.
Bagaimanapun, Zainol Fadzi menegaskan pihaknya tidak akan berkrompromi dalam soal keselamatan melibatkan golongan penjaja di lampu isyarat.
“Kita akan cuba cari alternatif untuk mereka ada tempat yang khas bukan di simpang jalan yang mengganggu lalu lintas,” katanya. -UTUSAN ONLINE










