BN, UMNO Johor tentukan formula menang PRN - Utusan Malaysia

BN, UMNO Johor tentukan formula menang PRN

ZAMBRY Abd. Kadir (tengah) merasmikan Kejohanan Bolasepak Liga Amatur Manjung 2022 Piala Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Barisan Nasional (BN) Pusat menyerahkan kepada BN dan UMNO Johor untuk mengenal pasti formula dan strategi bagi  memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ia termasuk kemungkinan menggunakan model dalam PRN Melaka yang menyaksikan BN mengemukakan 86 peratus muka baharu sehingga membolehkan parti itu memenangi majoriti dua pertiga.

“Kita tidak membuat sebarang andaian di peringkat ini tetapi beberapa model yang ada akan digunakan dan ia tertakluk kepada perbincangan di peringkat negeri sendiri kerana seperti yang kita maklum bahawa kepimpinan negeri tentunya lebih maklum tentang perkara yang perlu mereka lakukan.

“Ia juga melibatkan perbincangan yang mereka adakan di peringkat negeri dengan pelbagai pihak dan juga untuk mengenal pasti calon yang sesuai di sana. 

“Dalam erti kata lain, ia berada dalam bidang kuasa Badan Perhubungan UMNO dan BN negeri Johor untuk mengadakan perbincangan dengan pihak BN Pusat,” kata beliau selepas merasmikan Kejohanan Bolasepak Liga Amatur Manjung 2022 Piala Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor itu, untuk peringkat awal pihaknya mahu melihat tahap kesiapsiagaan terutama aspek logistik yang merupakan persediaan paling penting dalam menghadapi PRN tersebut.

Beliau juga menganggap pengundi 18 hingga 20 tahun dan pengundi automatik yang buat julung kali mengundi dalam PRN Johor bukan sekadar sebagai cabaran tetapi juga peluang yang perlu direbut untuk meningkatkan peluang kemenangan BN.

“Kita jangan menganggap cabaran sebagai masalah dan dalam setiap pilihan raya tentunya kita perlu membuat persiapan termasuklah bagaimana hendak membawa pengundi keluar untuk mengundi BN,” ujar beliau.

Mengenai kemungkinan bekerjasama dengan parti lain termasuk Pas, Zambry menjelaskan sebagaimana PRN sebelum ini pihaknya mendengar pelbagai kenyataan bukan hanya daripada Pas tetapi juga daripada pihak yang lain. 

Justeru, beliau menyerahkan kepada pihak pucuk kepimpinan BN dan UMNO untuk meneliti perkara itu kerana parti itu tidak mahu dianggap sombong seolah-olah tidak mahu berkerjasama dengan parti, individu atau kumpulan tertentu.

Zambry juga memberitahu pihaknya tidak boleh menghalang persepsi atau pandangan masyarakat yang menganggap ahli politik tidak habis-habis berebut kuasa apabila mengadakan pula PRN Johor selepas mengadakan PRN Sabah, Sarawak dan Melaka sebelum ini.

“Dalam konteks negeri Johor seperti yang kita sedia maklum ia disebabkan oleh keadaan yang terlalu ‘fragile’ (rapuh) dan pihak kepimpinan negeri telah pun membuat keputusan mereka dan kita akan melalui proses ini,” ujarnya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya