PETALING JAYA: Kerajaan diminta membatalkan larangan menunaikan umrah dalam kalangan rakyat negara ini bagi mengelakkan syarikat pengendali menanggung kerugian, sebaliknya menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.
Pengarah syarikat Al-Muneer Travel and Tours Sdn. Bhd. Mohd. Amirizuan Ahmad berkata, kerajaan tidak sepatutnya membuat keputusan tergesa-gesa dan perlu mendapatkan pandangan pemain industri.
Malah, katanya, terdapat banyak penambahbaikan yang sepatutnya dilaksanakan kerajaan terutama penyediaan ruang lebih selesa bagi setiap jemaah sewaktu dipakaikan peranti pengesanan digital.
“Pemakaian peranti tersebut memakan masa terlalu lama dengan tiadanya penjarakan fizikal. Paling mengecewakan jemaah yang baru pulang juga perlu perlu mengisi semula butiran diri pada aplikasi MySejahtera, sedangkan ia sepatutnya telah tersedia ada sebelum mereka bertolak ke Mekah.
“Selain itu, jemaah juga perlu menjalani ujian saringan dan keputusan agak lambat. Jadi, bayangkan sewaktu menunggu keputusan dalam ruang yang agak sempit yang sudah tentu turut mendatangkan risiko penularan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum itu, kerajaan memutuskan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Amirizuan berkata, langkah penangguhan itu juga dilihat tidak menyeluruh dan tidak jelas sama ada hanya membabitkan visa umrah semata-mata atau visa pelancong untuk perjalanan ke Arab Saudi.
“Bagaimana jika ada yang pergi ke sana (Mekah ) dengan menggunakan visa pelancong? Adakah peraturan ini hanya libatkan syarikat dan visa umrah sahaja atau kedua-duanya,” ujarnya.
Bakal jemaah umrah, Mawarni Mat Ghani, 41, berkata, dia berharap kerajaan kembali membenarkan perjalanan umrah memandangkan tarikh dia berlepas ke tanah suci berbaki kira-kira dua bulan lagi iaitu pada 25 Februari ini.
Katanya, dia tidak menganggarkan penangguhan itu sehingga tarikh pelepasannya meskipun tiada perjalanan mengerjakan ibadah berkenaan sehingga ke satu tarikh yang dimaklumkan kelak.
“Jika diikutkan tiket (berlepas) pada 25 Februari dan saya difahamkan perlu melihat (status) kepada jemaah yang sudah berlepas sebelum ini.
“Saya sebagai bakal jemaah rasa sedih juga, tetapi kita doakan supaya rombongan yang sudah pergi itu ada perubahan positif selepas mereka pulang.
“Kami masih berharap dan hanya menunggu jawapan (dibenarkan), maka kami teruskan. Sama-sama kita doakan supaya kes (positif) Covid-19 membabitkan jemaah umrah yang sudah berlepas) tidak bertambah,” katanya. – UTUSAN










