KUALA KRAI: Suka atau tidak, mereka perlu bangun awal pagi atau berdepan kemungkinan terlepas kereta api yang menjadi satu-satunya pengangkutan awam dari kampung untuk ke sekolah.
Itu amalan diterapkan dan dilalui semua anak-anak penduduk di Kuala Gris, Bukit Abu, Slow Pok Long dan Ulu Temiang dekat sini sejak lima dekad lalu.
Anak-anak berkenaan tiada pengangkutan awam lain seperti bas, teksi mahupun ‘prebet sapu’ di situ.
Jika tertinggal kereta api, ibu bapa perlu menghantar anak masing-masing ke sekolah dengan menaiki motosikal sejauh 14 kilometer atau kira-kira 20 minit perjalanan.
Ketika tinjauan Utusan Malaysia di Hentian Kuala Gris baru-baru ini, pelbagai gelagat pelajar sekitar 80 hingga 100 orang ketika mereka menunggu ketibaan kereta api pada pukul 7 pagi.
Untuk ke hentian itu, ada pelajar membonceng motosikal bapa yang dalam perjalanan menoreh getah. Selain itu, ada juga yang datang lebih awal ‘membelah kabus’ dengan berjalan kaki sesudah Subuh. Kebanyakan penduduk Kuala Gris menjana pendapatan dengan menoreh getah manakala segelintir lagi berkebun sayur-sayuran.
Mewarisi amalan itu ialah pelajar Tingkatan Lima, Siti Mashitah Mohd. Nasir, 17, yang setia menaiki kereta api setiap hari untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong sejak dia berusia 13 tahun.
Ketika disantuni, gadis dari Kampung Kuala Gris tersebut memberitahu, pada sebelah pagi, hanya satu trip kereta api ke Dabong iaitu pada pukul 7 pagi manakala trip kedua pada pukul 1.30 petang.
“Supaya tidak tertinggal satu-satunya trip ke sekolah, kami perlu tiba di Hentian Kuala Gris selewat-lewatnya pukul 6.45 pagi. Biasanya saya bersiap awal dan selepas solat Subuh, saya segera berjalan kaki ke hentian.
“Kalau tertinggal kereta api, kami terpaksa minta sesiapa ahli keluarga hantar ke sekolah. Namun ketika itu, ibu dan ayah lazimnya sudah keluar rumah untuk menoreh getah. Jadi memang ada yang terpaksa ponteng sekolah,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Khairi Haikal Mohd. Hussin, 17, berkata, tiket kereta api dari kampungnya ke SMK Dabong RM1 sehala namun inisiatif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan MyRail5 membantu keluarganya berjimat.
“MyRail5 ialah pas perjalanan tanpa had dengan bayaran RM5 sebulan. Memandangkan kami berulang-alik ke sekolah hampir setiap hari, pas yang diperkenalkan KTMB ini amat membantu pelajar,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Kuala Gris, Badrul Shahudin, 42, berkata, disebabkan Kuala Gris tidak mempunyai sekolah menengah, boleh dikatakan 100 peratus penduduk di situ termasuk beliau sendiri pernah merasai pengalaman naik kereta api untuk ke SMK Dabong.
“Mengikut cerita orang dulu-dulu, kereta api mula digunakan di kawasan kampung ini sejak tahun 1931 sebagai kenderaan untuk mengangkut kelapa sawit, selain ke pekan terdekat untuk jual hasil tanaman.
“Walaupun jarak kampung dengan pekan Dabong hanya 14 kilometer, laluannya berbukit-bukau serta berkabus pada waktu pagi. Kereta api juga memainkan peranan menghubungkan tempat terpencil yang tidak boleh dilalui kereta,” katanya.- UTUSAN











