JOHOR BAHRU: Seramai 45 pemandu terima pengajaran apabila dikenakan tindakan saman setelah melakukan kesalahan memotong secara berbahaya di KM 0.1 Lebuh Raya EDL – Susur Jalan Stulang Darat, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintenden M. Kumarasan berkata, operasi yang dijalankan bermula 7.30 hingga 9 pagi itu melibatkan 45 saman POL.257 telah dikeluarkan di bawah Kaedah 6(1) LN 166/59.
Katanya, operasi dijalankan susulan aduan awam berkaitan sikap sesetengah pemandu yang tidak sabar dan terlalu mementingkan diri apabila melakukan kesalahan memotong barisan terutamanya pada waktu puncak.
“Operasi yang dijalankan awal pagi tadi untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya dalam memastikan kesalahan ini dapat dibendung dan dikawal supaya tidak berlarutan.
“Dalam operasi yang dijalankan itu, seramai 45 pemandu dikesan memandu secara berbahaya dan menjejaskan aliran trafik serta menyusahkan orang lain. Kesemua mereka dikenakan tindakan saman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumarasan mengingatkan supaya semua pengguna jalan raya untuk sentiasa berhemah ketika memandu dan jangan pentingkan diri sendiri sehingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.
“JSPT Johor akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap mana-mana individu yang masih berdegil serta masih ingkar dengan peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE