fbpx

15 individu kemuka penyata akaun bank palsu direman

Seramai 15 individu termasuk seorang wanita direman di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 15 individu termasuk seorang wanita direman antara tiga hingga lima hari bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata akaun bank beberapa syarikat yang memiliki butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan untuk memasuki tender pada 2018 dan 2019.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Siti Norhidayah Mohd. Noor di Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini hari ini.

Individu terbabit direman selepas mereka ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Kes tersebut disiasat mengikut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, mereka merupakan antara 21 individu termasuk tiga wanita yang ditahan secara berasingan di sekitar Bangi, Selangor dan Pejabat SPRM Kedah di sini semalam. 

Mereka yang ditahan berusia antara 31 hingga 77 tahun dan berjawatan sebagai pengarah syarikat, pemilik syarikat, pengurus, kontraktor dan bekerja sendiri.

Katanya, kesemua individu terbabit ditahan kerana dipercayai mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat yang mempunyai butiran palsu untuk melayakkan syarikat mereka memasuki tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

“Seramai 15 individu berusia antara 31 hingga 68 tahun reman hari ini manakala enam lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM.

“SPRM masih giat mengesan individu-individu lain yang dipercayai terbabit dalam kes tersebut dan kemungkinan akan ada lagi tangkapan selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan namun enggan banyak mengulas mengenainya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI