JOHOR BAHRU: Berstatus pesara dan dalam kelompok warga emas tidak menghalang Abdul Rahim Ramli, 70, untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi sehingga menggenggam segulung ijazah doktor falsafah.
Menurut pesara Juruteknik Perancang Bandar di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Johor itu, latar belakang sebagai anak kampung mendorongnya untuk mencapai kejayaan itu.
“Saya faham seseorang itu akan menghadapi masalah sekiranya kurang ilmu pengetahuan dan tidak mempunyai kelulusan pendidikan tinggi.
“Ekoran itu, saya bertekad untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi iaitu ijazah sarjana muda, sarjana hinggalah ke pengajian doktor falsafah sejak tahun 2013,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima Ijazah Doktor Falsafah (Perancangan Bandar dan Wilayah) dari Fakulti Alam Bina dan Ukur pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-64, di sini hari ini.
Tambah Abdul Rahim, dia turut berharap masyarakat khususnya golongan muda untuk tidak mudah berputus asa dan terus berusaha untuk menimba ilmu sehingga ke peringkat tertinggi sekaligus dapat berbakti kepada negara pada masa depan.
Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, Majlis Konvokesyen UTM ke-64 menyaksikan seramai 8,956 orang graduan menerima ijazah mereka.
“Menurut laporan Kementerian Pengajian Tinggi 2021, kadar kebolehpasaran graduan UTM bagi tahun 2020 adalah 91.5 peratus, iaitu antara yang tertinggi dalam kalangan Universiti Awam Malaysia.
“Ini membuktikan UTM berjaya menghasilkan graduan berkualiti yang menjadi rebutan industri di pasaran pekerjaan,” katanya.
Majlis konvokesyen berkenaan turut menyaksikan perisytiharan Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dan Tan Sri Jamaludin Ibrahim sebagai Pro-Canselor UTM yang baharu. -UTUSAN ONLINE










