PETALING JAYA: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang terkejut dengan individu yang mengaku dirinya sebagai Menteri Kewangan sedang mencari calon isteri, sehingga seorang guru tadika rugi RM4,200 hari ini tampil meminta orang ramai lebih berhati-hati.
“Saya terkejut bila baca ada wanita terpedaya dengan janji-janji manis scammer yang mengaku Menteri Kewangan sehingga menyerahkan wang sebanyak RM4,200.⠀
⠀
“Saya minta semua di sana berhati-hati dengan pelbagai scam di luar sana. Semak dengan pihak berkuasa kalau ada perkara yang mencurigakan. Jangan mudah percaya dengan janji manis orang yang tidak dikenali.⠀
⠀
“Kalau ada yang selepas ini menyamar sebagai Menteri Kewangan, menjanjikan cinta, tolonglah tolak mentah-mentah. Hati saya dah berpunya dan saya tak berminat nak cari no 2.
“Pesanan ini juga khas untuk isteri saya.,” tulis Tengku Zafrul di Facebook miliknya. ⠀Terdahulu, portal dan akhbar melaporkan kerana cinta, seorang guru tadika berusia 59 tahun kerugian selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai Menteri Kewangan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang tinggal di Kemayan, Kuantan berkenalan dengan suspek pada awal bulan ini.
“Suspek menggunakan nama Facebook Tengku Zafrul dan memperkenalkan diri sebagai Menteri Kewangan selain turut menghantar mesej kepada mangsa melalui WhatsApp,” kata beliau.
Menurut beliau, suspek berjanji untuk memberikan wang sebanyak RM1 juta dan sebuah kenderaan jenis Rolls-Royce kepada mangsa jika bersetuju untuk berkahwin dengannya.
Menurut Mohd. Wazir, suspek kemudian meminta mangsa berurusan dengan individu bernama Siti menerusi WhatsApp yang didakwa pengurus bank kepada Tengku Zafrul.
Katanya, mangsa kemudiannya diminta membayar yuran pemprosesan untuk berkahwin dengan suspek.- UTUSAN
⠀