Sekolah padat punca keciciran - Utusan Malaysia

Sekolah padat punca keciciran

Kepadatan murid atau pelajar di setiap kelas dan sekolah akan melahirkan generasi kebejatan sosial dan keciciran dalam pelajaran. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu kebejatan sosial dan keciciran anak-anak berpunca daripada masalah kepadatan murid dan pelajar dalam sesebuah kelas dan sekolah sehingga menyebabkan guru tidak dapat memberikan tumpuan terhadap aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, sekiranya masalah itu tidak ditangani dengan tuntas dan segera, isu berkenaan dijangka memberi kesan kepada aspek pendidikan dan pembinaan sahsiah generasi pada masa hadapan.

Menurut beliau, lambakan murid dan pelajar sehingga lebih 25 orang dalam sesebuah kelas menjejaskan aspek PdP apabila kepadatan itu menyebabkan pengajar tidak dapat memberikan fokus terhadap setiap murid.

Kata Anuar, lebih memburukkan lagi apabila tenaga pengajar tidak mampu menilai sejauh mana pencapaian murid dan pelajar masing-masing.

“Sedangkan PdP kena ada dua hala, tetapi jumlah murid terlalu ramai menyebabkan pembelajaran jadi sehala sehingga guru terpaksa mengajar semata-mata untuk menghabiskan silibus pengajaran sahaja, tetapi tidak dapat melakukan pentaksiran dan penilaian bakat secara menyeluruh.

“Memandangkan kini Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) telah pun dimansuhkan, para guru kena buat pentaksiran sewaktu di bilik darjah sebelum mereka melangkah ke sekolah menengah. Sekiranya murid lebih 30 orang, bagaimana penilaian ini hendak dibuat?

“Jadinya, sejauh mana pencapaian murid terhadap ruang lingkup akademik itu, ia gagal dilakukan jika berlaku kepadatan seperti mana berlaku di sebuah sekolah di Lembah Klang yang mempunyai lebih 30 murid sedangkan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menggariskan satu kelas maksimum 25 murid atau pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Anuar berkata, bukan sahaja aspek keciciran, malah perkara itu memberikan kesan kepada aspek kebejatan sosial kerana masalah disiplin tidak dapat ditangani dengan lebih baik akibat terlalu ramai pelajar sehingga berlakunya isu buli, ponteng sekolah dan pelbagai masalah.

“Punca utama masalah disiplin dalam kalangan pelajar hari ini apabila terlalu ramai murid dan pelajar, sehingga pihak sekolah dan guru tidak mampu mengawalnya dengan baik.

“Kita tidak boleh salahkan pengajar dalam soal ini, tetapi berpunca daripada faktor iaitu isu saiz kelas. Itu yang menjadi segala punca masalah yang perlu difikirkan,” jelasnya.

Justeru, tegas beliau, isu kepadatan pelajar adalah masalah besar yang wajar ditangani segera dengan memperkenalkan dasar 25 pelajar satu kelas dan mengurangkan jumlah pelajar dalam sesebuah sekolah daripada 3,000 kepada antara 600 hingga 700 pelajar.

Beliau memberi contoh negara jiran, Singapura yang mengambil pendekatan dasar 25 orang dalam satu bilik darjah dan menyebabkan pihak pengajar dapat melakukan pelbagai aktiviti dan pentaksiran untuk menilai sejauh mana pencapaian murid.

“Jika punca utama ini tidak ditangani dengan baik, masalah ini akan mendatangkan kesan kepada generasi masa depan apabila mempunyai lapisan yang berhadapan masalah keciciran dan sahsiah,” katanya.

Beliau kemudian menjelaskan, sudah tiba masa perkara itu dinilai semula sekiranya kerajaan tidak mahu kehilangan bakat yang akhirnya merugikan negara apabila tidak mempunyai idea dan pelapis yang bakal mewarisi pentadbiran tanah air pada masa hadapan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×