PUTRAJAYA: Kerajaan akan membuat keputusan dalam masa terdekat berhubung cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya saf solat berjemaah kembali dirapatkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Jakim, namun keputusan akhir dibuat oleh Jawatankuasa Menteri Kuartet Covid-19 yang dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Kata beliau, jawatan kuasa berkenaan akan meneliti lanjut dan membincangkannya dalam satu mesyuarat yang perlu cukup korum termasuk membawa ke peringkat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum membuat keputusan.
“MKN menyambut baik cadangan Jakim kerana ia adalah keputusan yang ditunggu-tunggu, tetapi kena ambil kira pandangan semua pihak terutama Kementerian Kesihatan.
“(Cadangan itu) mungkin boleh dipertimbang, namun keputusan tidak ada lagi kerana masih tidak ada perbincangan dalam masa terdekat dan sehingga sekarang kita masih meneliti dengan merujuk kepada jawatankuasa Menteri Kuartet.
“Kita akan buat keputusan bersama, jadi kena bawa ke perbincangan bersama melibatkan semua, keputusan itu akan jadi keputusan kerajaan,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, peringkat Jabatan Mufti Negeri Pahang sudah membuat keputusan membenarkan saf solat kembali dirapatkan dan sedang menunggu perkenan Sultan Pahang, namun pelaksanaannya bergantung kepada keputusan kerajaan.
“Bagi kita fatwa kita dah boleh rapat. Kita cadangkan dirapat dan membenarkannya, tetapi kuasa untuk mengarahkan (perkara itu dilaksanakan) bukan kuasa kita (mufti).
“Kuasa untuk bertindak sesuatu terpulang kepada pihak berkuasa. Bagi kita sudah menjawab dari segi hukum syarak iaitu sama ada boleh dan tidak membolehkan,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad memberitahu, kebenaran saf solat berjemaah kembali dirapatkan belum diperoleh selepas pihaknya mengemukakan perkara itu kepada pihak berwajib.
Idris berkata, pihaknya terpaksa akur dengan perkara tersebut yang pada masa ini pihak MKN dan KKM masih meneliti demi kemaslahatan masyarakat memandangkan Jakim ataupun agensi di bawah Hal Ehwal Agama tidak ada kuasa untuk memaksa mana-mana pihak bagi perkara ini, memandangkan ia juga tertakluk kepada bidang kuasa agama negeri masing-masing. – UTUSAN











