Prestasi Jemaah Menteri 90 peratus - Utusan Malaysia

Prestasi Jemaah Menteri 90 peratus

Ismail Sabri Yaakob melawat gerai pameran Kementerian Kerja Raya selepas majlis perasmian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan prestasi kerja 100 Hari Jemaah Menteri Kabinet diterajuinya mencapai sekitar 90 peratus dan berikrar untuk terus mendengar lebih banyak pandangan dan luahan rakyat bagi menambah baik sistem penyampaian serta perkhidmatan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, peratusan yang dicapai tersebut bukan alasan untuk Jemaah Menteri mendabik dada, sebaliknya mereka perlu menjadikan sebagai menyuntik kesungguhan dan iltizam untuk terus bekerja bersama rakyat.

“Sasaran penuh 100 peratus Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya seluruh ahli Jemaah Menteri dengan kerjasama penjawat awam, menggembleng tenaga dan memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkesan kepada Keluarga Malaysia, dengan mengetepikan segala kerenah birokrasi rumit,” kata beliau semasa berucap dalam Majlis Perasmian 100 Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dekat sini semalam.

Terdahulu, sebanyak 31 kementerian perlu menetapkan sasaran aspirasi dalam tempoh 100 hari dengan dinilai berdasarkan tiga elemen utama iaitu Penilaian Prestasi Kementerian/Jabatan, Penilaian Kepimpinan serta Penilaian Persepsi Awam.

Pencapaian 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia berasakan enam teras iaitu Menstruktur Semula Ekonomi, Menjamin Keselamatan dan Ketenteraman Negara, Meningkatkan Kesejahteraan Sosial, Mempertingkatkan Infrastruktur Menyeluruh, Memperkukuhkan Penyatuan dalam Acuan Keluarga Malaysia dan Memperkasa Penyampaian Perkhidmatan.

Menurut beliau, pelaporan pencapaian 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia penting dalam menentukan hala tuju dan momentum kerajaan untuk mencapai matlamat, agar Keluarga Malaysia menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Pencapaian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia tidak akan terhenti setakat ini. Malah aspirasi kami untuk bekerja bersama rakyat akan berterusan, melalui pelan jangka masa sederhana bagi tempoh enam bulan dan sasaran jangka panjang.

“Dengan iktikad menjaga Keluarga Malaysia, setiap perancangan kerajaan berpaksikan kesejahteraan rakyat supaya terpelihara, seperti sebuah keluarga,” kata beliau.
.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, lebih banyak pandangan dan luahan Keluarga Malaysia dilontarkan untuk menambah baik sistem penyampaian serta perkhidmatan kerajaan.

Beliau turut berjanji untuk meneliti analisis berdasarkan sentimen rakyat yang telah dilaksanakan terhadap Ahli Jemaah Menteri dan kementerian untuk penambah baikkan sistem pentadbiran.

Dalam majlis itu juga, Ismail Sabri turut mengumumkan sebanyak 24,300 peluang pekerjaan melibatkan 75 majikan ditawarkan melalui Karnival Kerjaya di program Aspirasi 100 Hari sepanjang empat hari ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN