PUTRAJAYA: Seramai 22 kanak-kanak dari kawasan Perumahan P11A1, Presint 11, di sini, meraih pengalaman manis apabila diberi peluang bergelar ‘penguat kuasa junior’ Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Lebih membanggakan, mereka turut bersama-sama pasukan penguat kuasa SWCorp untuk memeriksa rumah yang tidak mengasingkan sisa dan melaksanakan kitar semula di sekitar kawasan perumahan mereka, hari ini.
Menerusi pemeriksaan di 90 buah rumah, sebanyak 22 notis peringatan dikeluarkan oleh penguat kuasa junior SWCorp itu.
Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib berkata, notis peringatan itu dikeluarkan kepada penghuni rumah yang tidak mengasingkan sisa dan melaksanakan kitar semula.
Beliau berkata, 22 penghuni yang mendapat notis peringatan itu akan dilawati dari semasa ke semasa oleh penguat kuasa junior ini.
“Program Penguat kuasa Junior ini adalah satu aktiviti yang diilhamkan oleh Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Mokhtar bertujuan membentuk generasi kitar semula di negara ini.
“Mereka (kanak-kanak) ini dilatih dan diajar untuk melaksanakan penguatkuasaan pengasingan sisa di punca (SAS),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, pihaknya merancang untuk menjadikan aktiviti ini sebagai salah satu jenama program di SWCorp Wilayah Persekutuan.
Ummi Kalthum berkata, beliau berterima kasih kepada Duta 3R Putrajaya, Carlos Najmul Basri Najimudin di atas kerjasama diberikan sepanjang program berlangsung, hari ini.
Menurutnya, beliau turut mengingatkan penduduk di Wilayah Persekutuan supaya menjaga kebersihan dan melaksanakan pengasingan sisa di punca.
“Jika gagal berbuat demikian, penghuni kediaman boleh dikenakan tindakan kompaun maksimum sehingga RM500,” katanya. -UTUSAN ONLINE