MELAKA: Krismas pada setiap 25 Disember yang selalunya disambut meriah di Kampung Portugis di sini terpaksa dilupakan tahun ini.
Ini disebabkan beberapa rumah di kawasan itu dilanda air pasang besar Jumaat lalu dan menyebabkan banyak kelengkapan rumah rosak.
Seorang penduduk, Elizabeth Pereira, 52, berkata, sejak hari kejadian sehingga semalam dia masih membersihkan rumah milik bapa saudaranya yang terlekat lumpur yang memenuhi segenap penjuru rumah.
Katanya, air naik dengan pantas pada awal pagi menyebabkan banyak barang tidak sempat diselamatkan.
“Peti ais, tilam, almari dan pakaian semuanya rosak dan ada yang terpaksa dibuang. Lantai rumah berlumpur dan dinding pula rosak kerana terkena air masin.
“Kejadian kali ini terburuk sejak 75 tahun. Biasanya air tidak masuk ke dalam rumah, tetapi kali ini air naik sehingga paras lutut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, projek tambakan laut dan pengecilan saliran air dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya banjir ketika air pasang besar di beberapa kawasan di negeri ini.
Dalam pada itu, tambah Elizabeth, sambutan Krismas tahun ini akan disambut secara ala kadar, meskipun tidak lagi berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, tiada kad hiasan dan lampu warna-warni digantung memandangkan beberapa hari sebelum perayaan, dijangka berlaku gelombang kedua air pasang yang mampu mengakibatkan banjir.
“Kami mahu lebih bersedia untuk gelombang kedua. Jadi kami buat keputusan untuk sambut secara sederhana saja,” ujarnya.- UTUSAN










