KUALA LUMPUR : Kecewa dan hairan dengan tindakan individu yang melemparkan fitnah berhubung status perkahwinannya, penyanyi, Datuk Nora Ariffin, menggesa agar pihak yang terlibat tampil berani bersemuka dengannya.
Menurut Nora, dia melihat perkara ini sangat serius dan menuntut penjelasan daripada individu yang terlibat agar bertanggungjawab dengan tuduhan yang dilemparkan.
“Saya menyeru kepada individu yang sengaja ingin memburukkan kami, tolong tampil bertemu muka. Mungkin individu ini ada masalah, kita sama-sama bantu.
“Saya ingin tahu apa tujuan sebenarnya menyebarkan fitnah dan tuduhan yang tidak tepat dan tidak berasas ini?
“Lagipun ini adalah hal kehidupan saya.Kenapa gunakan media sosail dan akaun palsu untuk sebarkan fitnah? Alangkah baik kalau Direct Message (DM) saya terus. Apa niat awak?”katanya.
Nora berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagramnya malam tadi.
Ia bagi mengulas mengenai satu dakwaan yang bertebaran di media sosial bahawa kononnya dia dan suami baharunya, Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul Universiti Malaya, Dr Rushdi Ramli, telah berkahwin sejak dua tahun lalu.
Malah, timbul juga dakwaan yang menyebut bahawa Nora kononnya telah memaksa Dr Rushdi menceraikan isteri pertamanya.
Sementara itu, Nora berkata, dia adalah seorang wanita yang terbuka untuk mendengar sebarang penjelasan daripada si penyebar fitnah jika ia bertujuan mencari kebaikan.
“Tapi kalau bertujuan untuk meruntuhkan perkahwinan saya, itu adalah hak suami saya.
Hak mutlak seorang suami. Tidak boleh dipaksa-paksa.Saya serahkan pada Allah SWT,”katanya.
Nora juga berkata, sebagai seorang selebriti dia berhak untuk tidak berkongsi atau menjelaskan semua perkara tentang hal-hal kehidupan peribadi jika tiada keperluan.
“Itu adalah hak peribadi saya. Sekiranya perbuatan saya salah di sisi hukum Allah, biarlah saya meminta ampun daripadaNya. Dan biarlah para agamawan, awlia yang memberi nasihat pada saya. InsyaAllah, saya akan perbetulkan kesalahan saya.
“Ingin saya katakan bahawa, perkahwinan tidak boleh dipaksa- paksa.Begitu juga dengan perceraian. Tidak ada seorang manusia pun yang berhak untuk memaksa orang lain bercerai tanpa sebab. Itu dosa besar.
“Berkahwin itu perkara baik, mendapat pahala, wajar dihebahkan, kerana itulah, saya mengambil keputusan untuk beritahu pada semua bagi mengelakkan fitnah. Niat saya betul-betul kerana Allah. Tapi lain pula jadinya. Beritahu salah, tak beritahu pun salah,”katanya.
Terdahulu, Nora mengumumkan telah bernikah dengan kawan baik arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi dalam satu majlis tertutup.
Menerusi perkahwinan tersebut, ia sekali gus menutup desas desus kononnya dia pernah bernikah dengan seorang menteri, sebelum ini.
Nora mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Johan Nawawi pada tahun 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Walau bagaimanapun, komposer terkenal itu meninggal dunia pada 24 Mac 2017 di usia 52 tahun akibat serangan jantung.
Nora sekali lagi diuji pada 13 Disember 2019 atas pemergian anak keduanya, Muhammad Syakir Aliff yang ketika itu berusia 20 tahun.










