KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dicadangkan untuk mengiktiraf jurubahasa isyarat dengan mengembangkan peranannya sebagai salah satu skim perkhidmatan awam supaya menjadi satu profesion tetap.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pengiktirafan jurubahasa isyarat sebagai satu profesion merupakan hadiah yang sangat bernilai kepada golongan orang kurang upaya (OKU).
Katanya, perkara itu dapat membuka peluang pekerjaan baharu kepada golongan ini mahupun individu normal lain yang mempunyai kemahiran dalam bahasa isyarat.
“Kerajaan telah memperuntukkan RM1 juta untuk Akses Media OKU bagi penyediaan jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita di stesen TV.
“Dalam kesempatan ini, saya mencadangkan supaya JPA mengiktiraf jurubahasa isyarat dengan mengembangkan peranannya sebagai salah satu skim perkhidmatan awam supaya menjadi satu bidang kerjaya atau profesion tetap.
“Untuk makluman, elaun jurubahasa isyarat sehingga hari ini dibiaya oleh kerajaan menerusi peruntukkan geran kepada Persekutuan Orang Pekak Malaysia melibatkan sejumlah RM363,600 bagi tahun ini,” katanya.
Beliau berucap dalam Majlis Sambutan Hari OKU Sedunia Peringkat Kebangsaan dalam Malam Kasih OKU Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rina memberitahu, pihaknya kini memperkenalkan inisiatif MyDaftar OKU supaya kerajaan mempunyai pangkalan data OKU dan sistem maklumat yang komprehensif.
Katanya, MyDaftarOku merupakan permohonan pendaftaran OKU secara dalam talian dan kad OKU digital akan dikeluarkan dalam tempoh 24 jam menggunakan QR Code.
“Pengurusan pendaftaran kad OKU melalui MyDaftarOku akan memudahkan OKU tanpa pengisian borang secara manual, pengesahan ketidakupayaan oleh pakar, pegawai atau pengamal perubatan secara dalam talian sahaja.
“Sehingga 30 November lalu, seramai 5635 OKU telah dikeluarkan kad OKU Digital manakala 6221 orang sedang disantuni,” jelasnya.
Tambah Rina, berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat terdapat seramai 587, 608 OKU berdaftar.
Walau bagaimanapun katanya jumlah itu masih kecil berbanding anggaran yang dibuat oleh World Health Organisation iaitu sekurang-kurangnya sebanyak 15 peratus populasi negara adalah terdiri daripada golongan OKU atau 4.8 juta populasi OKU di negara ini.
“Kementerian akan terus berusaha supaya lebih ramai OKU dalam keluarga Malaysia mendaftar dengan JKM,” katanya.