Gadis lulusan Unimas ternak ikan keli - Utusan Malaysia

Gadis lulusan Unimas ternak ikan keli

NUR AtIkah Amran (kiri) dibantu oleh beberapa pekerjanya menunjukkan sebahagian ikan keli yang diternak di Kampung Tok Salam, Kubang Kenyeng, Kuala Nerang, Padang Terap semalam. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Walaupun memiliki ijazah namun Nur Atikah Amran tidak kekok bermain lumpur di kolam ternakan ikan keli yang diusahakan di Kampung Tok Salam, Kubang Kenyeng, Kuala Nerang di sini.

Siswazah dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berusia 24 tahun itu memilih menceburi bidang ternakan ikan sebaik menamatkan pengajian dalam bidang Gunaan dan Kreatif pada tahun 2018.

Dia mengetepikan perasaan malu dengan bekerja kampung dan menyahut cabaran bapanya, Amran Shamsuddin, 50.

Cerita Nur Atikah, setakat ini, dia menternak kira-kira satu juta ekor ikan keli dalam lapan kolam di kawasan seluas kira-kira 2.5 hektar.

“Sebagai anak kampung, saya menyahut cabaran bapa dengan penuh semangat dan mahu membuktikan saya mampu menjadi usahawan berjaya dalam bidang ternakan ikan keli.

“Saya tidak pernah menyesal menceburi bidang tersebut walaupun mendapat tawaran kerja kerana kerjaya ini memberi pulangan lumayan,” katanya ketika ditemui di Kampung Tok Salam, Kubang Kenyeng, Kuala Nerang di sini semalam.

Nur Atikah, anak kedua daripada lima beradik berkata, sejak kecil lagi dia membantu bapanya mengusahakan ternakan ikan keli.

“Sebab itu saya sudah biasa disengat ikan keli setiap kali turun ke kolam untuk menangkap hasil ternakan itu,” ujarnya.

Menerusi usaha itu, dia memasarkan 600 hingga 700 kilogram ikan keli sehari dengan harga RM4.20 sekilogram di beberapa pasar borong seperti di Kuala Nerang, Pokok Sena , Alor Setar, Jitra dan Kuala Ketil.

“Permintaan ikan keli menggalakkan sehingga saya menolak beberapa tempahan kerana bekalan tidak mencukupi,” ujarnya.

Namun dalamgembira pernah menempuh pengalaman pahit apabila kawasan kolam ternakan ikan keli pernah dilanda banjir.

“Ketika itu saya rugi hampir RM200,000 kerana ikan terlepas ke tali air serta sawah berdekatan.

“Kejadian itu tidak mematahkan semangat saya meneruskan kerjaya sebagai penternak ikan keli apabila saya membina lima kolam baharu bagi menampung permintaan semakin meningkat,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN