Cekap kesan pesakit Covid-19 punca angka tinggi - Utusan Malaysia

Cekap kesan pesakit Covid-19 punca angka tinggi

Kecekapan Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan pesakit Covid-19 antara sebab angka Covid-19 tinggi di negara ini. – GAMBAR HIASAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angka jangkitan Covid-19 di negara ini yang masih tinggi sekitar 3,000 kes sehari berbanding Indonesia, Vietnam dan Filipina yang lebih rendah adalah disebabkan kecekapan Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan mereka yang dijangkiti virus berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, perbezaan ketara jumlah kes harian berbanding negara-negara berpenduduk lebih ramai itu patut dibanggakan.

Menurut beliau, walaupun Indonesia mempunyai kaedah tersendiri untuk menjejaki individu positif, cara tersebut dirasakan kurang efektif sehinggakan negara itu merekodkan kes harian bawah 1,000 kes.

“Kes harian Malaysia lebih tinggi kerana Kementerian Kesihatan mengamalkan sistem pengesanan dalam lingkungan masyarakat setelah terdapat kes positif dilaporkan. Sebab itu, kita ada istilah kontak rapat, kontak sosial dan pelbagai.

“Apabila ada kes, maka serta-merta dibuat ujian pengesanan Covid-19 dan kemudian dikuarantin bagi mengelakkan penularan virus ini kepada orang lain. Berbanding Indonesia, mereka kurang efisien dalam soal ini,” katanya.

Kelmarin, Indonesia yang berpenduduk 267 juta hanya merekodkan 163 kes baharu manakala Filipina pula 232 kes daripada 109.6 juta penduduk.

Namun Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, pemantauan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penukaran wabak Covid-19 di negara ini masih tidak dibuat secara menyeluruh dan menjadi antara punca kes masih mencecah empat angka.

Beliau sehubungan itu mencadangkan kerajaan mengambil sukarelawan komuniti bagi membantu tugas agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya pemantauan secara menyeluruh dapat dilakukan.

“Kes di China dan Indonesia lebih rendah berbanding Malaysia. Ini kerana China mempunyai sistem pemantauan yang baik dan liputan vaksinasi tinggi manakala Indonesia pula berada di tahap sederhana.

“Namun, pematuhan SOP, liputan vaksinasi dan mungkin juga imuniti semulajadi yang terhasil daripada jangkitan Covid-19 membantu kes yang rendah,” katanya.

Dalam pada itu, pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof.Madya Dr. Malina Osman pula berkata, wujudnya varian Delta dan penurunan antibodi dalam kalangan penerima lengkap Sinovac menyebabkan berlakunya peningkatan kes di negara ini.

“Selain itu, keengganan sebahagian individu yang tidak mahu divaksin dan ketidakpatuhan SOP menyebabkan kes baharu kekal dalam julat 4,000 hingga 6,000 kes.

“Malah, di Singapura, ledakan kes yang berlaku sebelum ini akibat penurunan antibodi dalam kalangan penerima vaksin lengkap, sama seperti yang ditunjukkan di Israel.

“Namun apabila Singapura melaksanakan pemberian dos penggalak, kes kembali menurun,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN