PASIR PUTEH: Fenomena air pasang besar agak luar biasa sepanjang minggu lalu menyebabkan bangsal memproses ikan kering milik tiga keluarga nelayan di Kampung Pantai Pachakan di sini kini tinggal `rangka’.
Tinjauan Utusan Malaysia semalam hanya melihat ada rangka bangsal sahaja dengan atapnya tercabut diterbangkan angin kencang manakala tempat memproses ikan kering ‘hilang’ dihempas ombak selain tertimbus dalam pasir.
Seorang pengusaha, Aminah Jusoh, 65, berkata, akibat kerosakan itu dia terpaksa menangung kerugian sehingga RM10,000.
“Tahun lalu, lantai simen dalam bangsal saya tertimbus pasir setinggi lima meter sehingga saya mengupah jentolak untuk menolak timbunan pasir tersebut.
“Tahun ini lebih teruk apabila bangsal saya hanya tinggal rangka kerana atapnya tercabut manakala bahagian lantainya hilang ditimbus pasir sekali lagi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kata Aminah, bimbang kejadian berulang dan mungkin menjadi lebih buruk memandangkan musim tengkujuh belum berakhir, kerja-kerja memproses ikan kering kini dibuat di kawasan rumahnya sahaja .
Seorang lagi pengusaha, Siti Khadijah Bakar, 36, berkata, gara-gara hakisan pantai, jarak bangsalnya dengan gigi air kini hanya 50 meter berbanding beberapa tahun lalu sejauh 800 meter.
Menurutnya, terdapat tiga pengusaha yang aktif mengusahakan perusahaan ikan kering di lokasi berkenaan yang menerima banyak tempahan pelanggan dan pemborong dari seluruh negara.
“Kami memproses pelbagai jenis ikan untuk dijadikan ikan bekok, ikan kering dan ikan jeruk masin dengan kapasiti satu tan sehari. Perusahaan ini turut memberi pekerjaan kepada penduduk setempat terutama isteri nelayan.
“Kami memohon kerajaan dan pihak berkuasa supaya merancang pembangunan bagi mengurangkan hakisan pantai kerana lokasi ini memang dikenali sebagai lubuk ikan kering dan ikan segar nelayan pantai,” katanya.- UTUSAN










