TVET diunjur sumbang pengurangan pengangguran negara - Utusan Malaysia

TVET diunjur sumbang pengurangan pengangguran negara

AWANG Hashim dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran CIAST sebagai Pusat Kecemerlangan bagi Pengajar di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kadar pengangguran dalam negara diharap dapat dikurangkan melalui pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) dengan meningkatkan kemahiran tenaga pengajarnya menerusi Pusat Latihan dan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan.

Langkah itu termasuk menyasarkan peningkatan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi masa hadapan dan 60 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memasuki aliran TVET.

Usaha itu dimaklumkan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim yang memaklumkan usaha demikian turut disertakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memberi penekanan kepada aspek pembangunan bakat berkemahiran tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tenaga kerja mahir yang ada dalam pasaran sekarang ini yang dibangunkan oleh KSM melalui agensi kita termasuk kementerian lain, kita ada 28.6 peratus dalam pasaran pelajar yang dibangunkan menerusi TVET dalam pasaran industri di negara kita.

“Kadar pengangguran yang ada dalam negara sekarang ini adalah 4.5 peratus sudah menurun daripada 4.7 peratus hasil daripada perancangan. Walaupun ketika Covid-19, kita sudah ada jangkaan 4.7 peratus pengangguran dalam pasaran,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran CIAST sebagai Pusat Kecemerlangan bagi Pengajar di sini, hari ini.

Beliau menambah, kerajaan menerusi Belanjawan 2022 turut memperuntukkan RM6.6 bilion untuk melaksanakan pelbagai inisiatif termasuklah membangunkan modal insan berteraskan TVET bersama industri.

Terdahulu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin menerusi laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia memaklumkan kadar pengangguran di negara ini terus berkurangan kepada 4.5 peratus membabitkan 729,600 penganggur pada September lalu berbanding 4.6 peratus pada bulan sebelumnya.

Beliau berkata, peralihan lebih banyak negeri ke fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) membenarkan lebih banyak aktiviti perniagaan untuk beroperasi, dengan waktu operasi perniagaan dilanjutkan.

Dalam pada itu, Awang memaklumkan kadar pengangguran yang diunjurkan sehingga 4.7 peratus pada tahun ini mencapai sasaran apabila kadar 4.5 peratus dilaporkan sehingga September lalu.

“Tahun hadapan, kita tak tahu lagi sebab hujung tahun ini kita akan buat unjuran berkenaan itu, kalau tahun ini, 4.5 peratus target 4.7 peratus. Insya-Allah dengan usaha, kita akan tengok.

“Sebab pengangguran ini tidak melibatkan KSM sahaja, malah, semua kementerian dan agensi terutamanya dalam bidang pelaburan, Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang mana kita hendak melahirkan peluang pekerjaan dalam negara,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini