Saya terima sebab Fauziah Latiff - Che Ta - Utusan Malaysia

Saya terima sebab Fauziah Latiff – Che Ta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon jelita, Rozita Che Wan, 50, mengaku, antara sebab dia menerima tawaran untuk membintangi drama Tahyul terbitan Zeel Production adalah kerana adanya Fauziah Latiff.

Menurut pelakon yang selesa dengan panggilan Che Ta ini, dia mengetahui Fauziah turut terlibat untuk menjayakan drama arahan Junaime Ramfizal Rahmat itu dan sukar baginya untuk menolak tawaran lantaran terlalu meminati penyanyi tersebut.

“Saya sebenarnya sangat meminati dan mengagumi Fauziah. Sama seperti saya mengagumi bakat penyanyi dan pelakon Ziana Zain.

“Jadi disebabkan ada dia, maka saya pun teruja jugalah untuk berlakon di sampingnya menerusi drama ini. Tiada sebablah saya hendak menolak,”katanya.

Menurut Che Ta, dek meminati Fauziah, dia juga mengaku tidak pernah ketinggalan membeli kaset album penyanyi kesayangannya itu semasa zaman kemuncaknya.

“Jangan tak tahu, boleh dikatakan semua koleksi lagunya yang meruntun jiwa saya ada. Malah saya pernah beratur semata-mata nak bergambar dengannya di sebuah karnival persembahan di Alor Setar, Kedah, dahulu.

“Saya juga pernah disatukan dengan Fauziah dan Ziana dalam sebuah fotografi untuk kulit muka depan sebuah majalah fesyen dan kecantikan.

“Tak sangka dapat pula berlakon dengannya pula. Ini buat kali pertama tahu! ” katanya.

Selain itu, menurut Che Ta, tawaran memegang watak detektif juga merupakan antara alasan lain yang menyebabkan dirinya enggan melepaskan peluang untuk terbabit dalam drama slot Samarinda, TV3 ini.

“Kalau dilihat, saya ini jarang memegang watak seperti polis atau perisik. Sebelum ini dalam drama Gerak Khas pun saya pernah muncul jadi polis untuk beberapa episod.

“Sebelum itu, karakter Kiah Pekasam juga diperluaskan menjadi Kiah Spy. Saya juga pernah jadi perisik dalam drama Family Spy yang turut dibintangi Alif Satar,”katanya.

Difahamkan, drama Tahyul dengan 15 episod ini masih menjalani penggambaran di Perlis dan episod terakhirnya dijadualkan bersiaran pada 7 November ini.

Selain Che Ta dan Fauziah, drama ini turut dibintangi oleh Aniq Suhair, Cik B, Wani Kayrie, Ahmad Adly Sofwan, Shah Khan, Tania Hudson, Aidit Noh dan ramai lagi.

Selain drama Tahyul, isteri kepada Zain Saidin itu turut melunaskan penggambaran drama Kerana Dia Suka yang juga mengambil setnya di Perlis di bawah terbitan produksi sama.

Untuk drama Kerana Dia Suka, antara nama lain yang turut menjayakannya ialah Fendi London,Rita Nadira dan Fikry Ibrahim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN