KOTA KINABALU: Polis Sabah merekodkan sejumlah 2,804 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian sejumlah RM 79.2 juta bagi tempoh Januari 2019 hingga Oktober lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, kes yang agak tinggi ini susulan peralihan gaya hidup masyarakat yang semakin terdedah dengan penggunaan teknologi dalam urusan seharian.

Evolusi gaya hidup ini secara tidak langsung mewujudkan pelbagai bentuk jenayah baharu yang lebih kompleks dan global.
Situasi ini memerlukan pihak berkuasa memberi perhatian lebih serius untuk menangani kes jenayah komersial sebegini.
Katanya, berdasarkan laporan polis berkaitan kes jenayah komersil di negara ini, kes-kes jenayah penipuan dalam talian menunjukkan trend peningkatan agak ketara iaitu meningkat lebih 60 peratus sejak 10 tahun lalu.
“Walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah melaksanakan pelbagai tindakan penguatkuasaan dan pembanterasan namun, kes jenayah penipuan dalam talian dilihat terus meningkat.
“Justeru, satu inisiatif yang lebih komprehensif perlu dilaksanakan bagi memastikan kes-kes jenayah penipuan dalam talian ini dapat diturunkan dengan penglibatan masyarakat setempat,” katanya semasa merasmikan forum Jenayah Dalam Talian: Adakah Anda Mangsa Seterusnya hari ini.
Tambah beliau, penganjuran forum itu adalah inisiatif JSJK Malaysia bagi memastikan masyarakat didedahkan segala ilmu pengetahuan berkaitan jenayah komersil. Ia seiring dengan kempen bertemakan Kesedaran Jenayah Komersial Kesejahteraan Komuniti yang dilaksanakan sepanjang November ini di seluruh negara.
Idris berkata, penggunaan pelbagai medium penyampaian merangkumi perjumpaan bersemuka, media cetak, elektronik serta media sosial dijangka dapat membantu menyampaikan mesej pencegahan jenayah komersil kepada golongan sasar.
Jelas beliau, PDRM meletakkan harapan yang amat tinggi agar kempen ini dapat mencapai matlamatnya dan sekaligus membantu menurunkan kadar jenayah komersil di negara ini.
Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia JSJK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos; Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Ketua Cawangan Khas Sabah, Datuk Mohd Salleh Yahya.- UTUSAN ONLINE










