MELAKA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menjadi medan eksperimen kepada pelaksanaan pilihan raya selepas ini termasuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bukan sahaja mengikut norma baharu tetapi juga landskap parti politik selepas ini berdasarkan keputusan diumumkan.
Tempoh dua minggu dianggap paling mencabar dalam sejarah kerana prosedur operasi standard (SOP) dan sekatan tertentu yang menyukarkan parti bertanding mentafsir kecenderungan pengundi berbanding siri pilihan raya sebelum ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus daripada 476,037 pengundi dijangka keluar mengundi di 217 Pusat Mengundi dan 1,109 Saluran malah ada kemungkinan peratusan keluar lebih baik daripada sasaran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, PRN Melaka bakal menjadi medan eksperimen kepada PRU15 kerana bukan sahaja meliputi kaedah perjalanan pilihan raya tetapi juga penjajaran politik berdasarkan keputusan di negeri ini.
Melaka jadi contoh pelaksanaan pilihan raya ikut norma “Sebarang hala tuju dan masa depan politik semasa tanah air bergantung kepada keputusan PRN Melaka termasuklah mewujudkan jajaran kerjasama politik,” katanya di sini semalam.
Pada PRU 14, Pakatan Harapan (PH) menangi 15 kerusi untuk membentuk kerajaan selama 22 bulan sebelum Langkah Sheraton menyaksikan kerajaan negeri Melaka beralih kepemimpinan kepada gabungan Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Rakyat Malaysia (Bersatu) dan Pas yang membentuk kerjasama di peringkat Persekutuan dan negeri.
Kerjasama politik itu bagaimanapun hanya bertahan 18 bulan di Melaka, apabila Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali terpaksa mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri dan kepemimpinan beliau.
Dalam pada itu, Pensyarah Sosiologi Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Sivamurugan Pandian berkata, pendekatan norma baharu itu amat sukar untuk melihat sokongan pengundi terhadap mana-mana parti.
Beliau berkata, pendekatan baharu itu boleh menyebabkan DUN tergantung atau sebaliknya.
“Maka sebab itu setiap parti kurang melakukan kecaman dan pembunuhan karakter kerana masing-masing memerlukan kerjasama untuk membentuk kerajaan negeri kelak,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, sebanyak 217 Pusat Mengundi dan 1,109 saluran akan dibuka hari ini untuk tujuan pengundian dengan seramai 12,290 orang petugas bagi memastikan perjalanan urusan 476,037 pengundian berjalan lancar ketika pengundian hari ini.
Menurutnya, perjalanan hari pengudian PRN Melaka dibuat mengikut SOP ketat dengan semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, melakukan proses saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal pada pengundian.
Katanya, beberapa SOP tersebut adalah pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.
“Pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut manakala individu yang diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PUS) dan individu yang bergejala yang sedang dalam rawatan (PUI) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah, untuk keluar sementara ke Pusat Mengundi,” katanya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, walaupun PRN Melaka Ke-15 ini berlangsung dalam fasa Pelan Pemulihan Negara, peratusan keluar mengundi berkemungkinan lebih baik daripada sasaran 70 peratus atas beberapa faktor.
“Faktor utama adalah tahap kesediaan dan kesedaran rakyat di negeri ini untuk keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“SPR telah membuat segala persiapan termasuklah langkah-langkah yang perlu bagi memastikan aspek keselamatan bukan sahaja para pengundi, tetapi juga petugas-petugas di setiap pusat mengundi pada hari tersebut dapat dikawal selia dengan baik,” katanya semalam.
Menurut beliau, SPR berharap wakil kepada calon-calon bertanding yang bertugas di pusat-pusat mengundi, mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan SPR demi kelancaran proses pengundian esok. Kerjasama semua pihak amatlah penting supaya proses pilihan raya dapat dilaksanakan dengan telus dan selamat.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramal beberapa kawasan di negeri ini mengalami hujan lebat beserta ribut petir pada sebelah petang hari ini.
Hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku di kawasan Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin namun cuaca di ketiga-tiga kawasan berkenaan pada sebelah pagi diramal cerah. – UTUSAN










