Portal MyDIGITAL.KKMM dilancar - Utusan Malaysia

Portal MyDIGITAL.KKMM dilancar

ANNUAR Musa ketika membentangkan MyDIGITAL.KKMM Program Promosi Jalur Lebar 2021 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), hari ini, melancarkan portal MyDIGITAL.KKMM bagi memperkenalkan, mempromosikan dan mempamerkan pelbagai teknologi digital dan jalur lebar secara menyeluruh kepada Keluarga Malaysia. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, portal berkenaan dirangka khusus untuk membolehkan segala maklumat berhubung promosi jalur lebar dapat disatukan bukan hanya di peringkat KKMM, malah semua kementerian lain untuk mempamerkan program pendigitalan. 

Annuar berkata beliau berharap kewujudan portal berkenaan dapat memberikan peluang kepada semua kementerian dan agensi kerajaan serta syarikat telekomunikasi (Telco) untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat secara lebih berkesan dan berterusan. 

“Sebagai percubaan portal MyDIGITAL.KKMM akan mempamerkan dan mempromosikan teknologi digital dan jalur lebar secara maya selama tiga bulan, mulai hari ini. 

“Apabila rakyat melayari portal MyDIGITAL.KKMM mereka boleh lihat ada pelbagai program interaktif sepanjang masa, sekali gus mengoptimumkan penyampai segala maklumat dengan lebih berkesan,” katanya ketika berucap melancarkan MyDIGITAL.KKMM di Putrajaya hari ini. 

Mengulas lanjut, Annuar berkata portal berkenaan juga akan menjadi sebuah pusat sehenti atau ‘one stop centre’ yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh kementerian dan agensi kerajaan bagi mempercepatkan lagi kefahaman rakyat mengenai ekosistem digital di negara ini. 

Berikutan itu, Annuar berkata beliau tidak menolak kemungkinan portal berkenaan juga akan memuat naik kandungan dalam dielek Bumiputera Sabah dan Sarawak bagi meningkat kefahaman dan meningkatkan sistem penyampaian maklumat kerajaan selain dalam bahasa Melayu dan Inggeris sekarang. 

“Kalau untuk memudahkan rakyat faham kita perlu adakan program dalam bahasa lain… insya Allah kita sedia pertimbangkan,” katanya. 

Annuar juga menjelaskan kementeriannya juga akan duduk semeja dengan Telekom Malaysia (TM) bagi menambah baik portal berkenaan dari semasa ke semasa. 

Beliau berkata portal berkenaan boleh dimanfaatkan oleh usahawan untuk mempromosikan produk keluaran syarikat masing-masing. 

Dalam pada itu, Annuar berkata KKMM juga perlu berusaha menarik pelaburan asing masuk ke Malaysia seiring dengan penggunaan teknologi 5G di negara ini, pada masa depan. 

“Antara bidang yang perlu diberikan tumpuan adalah seperti Pengkomputeran Awan atau ‘Cloud Computing’; menggalakkan lebih banyak syarikat multi nasional membuka pusat pangkalan data di Malaysia atau pembinaan lebih banyak kable dasar laut serta hub rangkaian global,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya