Perlu patuh sistem elak pendapatan terjejas - Utusan Malaysia

Perlu patuh sistem elak pendapatan terjejas

MUHAMAD Shukri Jumarin yang bekerja sebagai penghantar makanan bermotosikal di Papar, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Terikat dengan tempoh masa penghantaran sesuatu pesanan ‘memaksa’ penghantar makanan melanggar peraturan jalan raya bagi mengelak prestasi kerja mereka jatuh, sekali gus menjejaskan pendapatan.

Walaupun terpaksa melanggar undang-undang, dalam kebanyakan masa, mereka sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan.

Itu antara luahan Mohamad Shukry Jumiran, 29, yang menjadi penghantar makanan Foodpanda sepenuh masa sejak September tahun lalu selepas berhenti menjadi pemandu e-hailing.

“Dalam kesibukan mengejar masa dan wang, semua penghantar makanan tetap mengutamakan keselamatan nyawa sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dia berharap penambahbaikan sistem dapat dilakukan agar penghantar makanan tidak terlalu terkejar-kejar masa ketika bekerja.

Bagi pihak kerajaan pula, katanya, mungkin boleh memantau sistem yang digunakan syarikat penghantar makanan untuk mengenal pasti apa langkah boleh diambil bagi menjaga kebajikan mereka.

Katanya, semasa pandemik Covid-19 melanda, hanya kerja sebagai penghantar makanan bermotosikal yang dilihat mampu memberi pulangan pendapatan baik.

“Walaupun kerjaya penghantar makanan ini tidak memberi jaminan masa hadapan namun, selagi kerja itu mampu memberi pendapatan yang baik, saya akan terus bekerja.

“Kerjaya penghantar makanan ini bergantung kepada prestasi dan tahap kerajinan kami. Jika rajin maka, prestasi kami akan bertambah baik dan mudah untuk kami memilih syif,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, penghantar makanan bermotosikal turut berhadapan risiko kemalangan ketika bertugas namun kebajikan mereka tidak terjaga.

“Walaupun ada sebahagian penghantar makanan bermotosikal yang cuai ketika bekerja namun kebanyakan penghantar makanan menitikberatkan aspek keselamatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN