Pengusaha alat ganti `sakit kepala’ - Utusan Malaysia

Pengusaha alat ganti `sakit kepala’

Pengusaha mengeluh harga hampir semua alat ganti kenderaan naik mendadak. -FOTO/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengusaha kedai alat ganti kenderaan ‘sakit kepala’ berdepan kenaikan harga alat ganti yang ketara didakwa berpunca daripada masalah bekalan dan peningkatan kos pengangkutan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Automotif Melayu Muslim Negeri Sembilan, Badrul Syahir Harith berkata, harga alat ganti untuk gas pendingin hawa sebelum ini antara RM215 dan RM225 setiap tong tetapi terus melonjak sehingga RM500 setiap tong.

Menurut beliau, minyak hitam tidak terkecuali, meningkat daripada RM140 kepada RM152 bagi setiap botol sekali gus membebankan kos operasi yang perlu ditanggung pengusaha kedai.

“Kos operasi bagi setiap pengusaha kedai alat ganti paling murah dalam RM5,000 ke RM6,000 sebulan meliputi sewa kedai RM2,000 ke RM2,500. Kos beli alat ganti bergantung, ada yang perlu tanggung RM1,000 ke RM2,000 sahaja, kalau syarikat besar antara RM50,000 ke RM100,000.

“Kalau syarikat besar tidaklah sakit sangat sebab mereka sudah ada stok, tetapi ada ahli-ahli persatuan hanya pemilik kedai kecil tidak ada stok. Kalau harga naik lagi, sakit kepala dibuatnya. Kalau tiga bulan tak boleh tanggung, paling selamat tutup kedai. Ada yang terpaksa tutup kedai, jual ikan masin sebab nak bayar gaji pekerja, kalau tak bayar nanti kena jawab dengan Jabatan Tenaga Kerja,” katanya.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung harga alat ganti kenderaan semua kelas yang dijangka meningkat sehingga 60 peratus dalam tempoh terdekat ekoran masalah bekalan dan peningkatan kos pengangkutan selepas semua sektor ekonomi dibuka dan rentas negeri dibenarkan pada 11 Oktober lalu.

Kenaikan tersebut bukan sahaja melibatkan alat ganti baharu tetapi turut melibatkan alat ganti terpakai ekoran kenaikan mendadak cukai import dan caj penghantaran.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peniaga Alat-Alat Ganti Terpakai Kenderaan Malaysia (Muvata), Heng Kim Siang mengakui harga alat-alat ganti terpakai turut meningkat antara 10 hingga 15 peratus, berbanding alat ganti baharu.

“Kos alat ganti terpakai meningkat apabila kos pengangkutan untuk mengimport alat ganti meningkat sebanyak 47 peratus. Ini akan memberikan kesan kepada semua alat ganti termasuklah alat ganti popular seperti model Toyota dan Mitsubishi.

“Kalau alat ganti gearbox baharu berharga RM8,000 kalau terpakai hanya RM1,400 tapi sebelum ini hanya RM1,200. Enjin baharu pula ada yang bernilai RM30,000 tetapi enjin terpakai RM8,000, tapi sebelum ini hanya RM7,500,” katanya.

Namun, Kim Siang meluahkan kebimbangannya kemungkinan harga alat ganti akan terus melambung jika kos pengangkutan terus meningkat dalam masa terdekat.

“Kita memang takut harga akan naik lagi, jadi kita harap harganya dapat turun balik, kalau tidak lagi mahal alat ganti untuk pengguna.

“Kita tak boleh kawal harga pasaran dan kos pengangkutan, tetapi kita akan terus pantau kalau kos pengangkutan naik lagi. Paling penting, alat ganti terpakai yang dijual tetap berkualiti dan kita tidak mahu membebankan pengguna,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN