Pakej Transit, Pas Keluarga Malaysia buat rakyat - Utusan Malaysia

Pakej Transit, Pas Keluarga Malaysia buat rakyat

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat gerai jualan Tea Thambin yang dibantu melalui pakej transit untuk pengusaha industri kecil dan sederhana selepas melancarkan pas perjalanan Keluarga Malaysia di Stesen KL Sentral semalam. -FOTO/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan memperkenalkan Pakej Transit di lapan stesen transit aliran ringan (LRT) di laluan Kelana Jaya bagi membantu dan memperkasa ekonomi peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) pada Mac tahun depan.

Sejumlah 20 lot perniagaan bersaiz 80 hingga 400 kaki persegi akan ditawarkan kepada peniaga IKS menerusi cabutan lot.Stesen-stesen terlibat ialah Subang Alam, Alam Sutera, Putra Height, Taman Perindustrian Puchong, Awan Besar, IOI Puchong Jaya, Plaza Rakyat dan SS18.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan anak syarikat Prasarana iaitu Prasarana Integrated Development Sdn. Bhd. (PRIDE).

Menurut beliau, buat permulaan PRIDE memilih lapan stesen LRT laluan Kelana Jaya dan perincian mengenai pelaksanaan Pakej Transit akan diumumkan dalam masa terdekat

“Buat permulaan, pemohon yang berjaya akan menikmati struktur sewaan istimewa selama setahun termasuk penge­cualian sewa tiga bulan yang perincian lain akan dihebahkan oleh PRIDE.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan pengusaha IKS mengambil bahagian dan memperkasakan ekonomi setempat agar dapat melimpahkan kesejahteraan serta memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia,” kata Perdana Menteri semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Pas Keluarga Malaysia di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Kewa­ngan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pengerusi Prasarana, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, bagi meningkatkan masa berkualiti bersama kelu­arga pada hari minggu dan cuti umum, kerajaan memper­ke­nalkan Pas Keluarga Malaysia berharga RM15 yang akan mula dijual pada 1 Disember ini.

Menurut beliau, menerusi pas tersebut, setiap kelu­ar­ga­ seramai empat orang dalam satu kumpulan boleh menikmati perjalanan satu hari tanpa had menggunakan LRT, transit aliran massa (MRT), monorel dan bas Rapid Transit-Laluan Sunway.

“Pas Keluarga Malaysia inisiatif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan dijual pada harga RM15 dan dapat digunakan seramai empat orang.Ini bermakna setiap orang bayar RM3.75 untuk perkhidmatan yang disediakan.

“Inisiatif ini bertujuan menggalakkan Keluarga Malaysia beriadah, bersiar-siar dan menghabiskan masa ber­kualiti dengan orang tersa­yang sambil mengunjungi pusat beli-belah atau tempat menarik yang terdapat di sekitar jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Sela­ngor,” kata Ismail Sabri.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×