IPOH: Polis telah mengenal pasti suami kepada wanita yang memuat naik dakwaan di aplikasi Tiktok berkaitan tiada tindakan diambil terhadap aduannya yang berdepan dengan ancaman keselamatan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki tersebut akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Kita telah mengenal pasti wanita itu dan minta kerjasamanya untuk datang ke balai polis bagi kita mendapat maklumat mengenai ancaman yang dimaksudkannya.
“Wanita terbabit sebelum ini ada membuat laporan polis tentang masalah rumah tangga dan kita telah pun mengenal pasti suaminya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di sini hari ini.
Menurut Mior Farid, keengganan wanita itu memberi kerjasama menyebabkan pihaknya meminta kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk turut sama mengenal pasti punca masalah pengadu.
Berdasarkan video berdurasi satu minit 44 saat yang dimuat naik Sabtu lalu, wanita terbabit mendakwa telah dua kali menghubungi balai polis untuk memohon bantuan kerana bimbang keselamatannya dan anak.
Bagaimanapun dakwa wanita itu, tiada bantuan daripada pihak polis termasuk datang ke rumahnya.
Menerusi video tersebut, wanita itu juga mendakwa telefon bimbitnya telah digodam yang dikatakan mempunyai kaitan dengan suaminya. – UTUSAN ONLINE