PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah memberikan kuasa kepada ketua-ketua jabatan untuk mengambil tindakan sewajarnya jika ada dalam kalangan kakitangan mereka enggan menerima vaksin Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman bagaimanapun berkata, jumlah golongan yang enggan divaksin itu adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan saiz perkhidmatan yang ada.
Malah, beliau tidak mahu bilangan kecil itu mengalihkan tumpuan untuk memastikan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tidak terjejas dan dapat dicapai oleh semua pihak.
“Mana-mana organisasi pun akan ada masalah seperti ini. Kita sudah beri kuasa kepada ketua-ketua jabatan untuk mengambil tindakan.
“Tumpuan utama kita adalah untuk memastikan perkhidmatan kerajaan tidak terjejas dan dapat dicapai semua pihak, malah juga dapat ditingkatkan lagi untuk manfaat semua selain meneruskan usaha-usaha penambahbaikan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya di sini semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad memberitahu Dewan Rakyat minggu lalu berkata, sebanyak 28,000 kakitangan awam yang enggan divaksin Covid-19 sudah diberikan surat tunjuk sebab sebagai salah satu daripada proses sebelum tindakan selanjutnya dikenakan terhadap kakitangan terbabit.
Katanya, setakat ini, tidak ada tindakan lain diambil terhadap mereka kerana terdapat proses yang perlu diikuti oleh kerajaan.
Mohd. Khairul Adib sebelum ini berkata, penjawat awam di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dikenal pasti masih merekodkan jumlah tertinggi kakitangannya yang belum berdaftar untuk mengambil vaksin.
Bagaimanapun, data terkini jumlah penjawat awam yang enggan berbuat demikian sedang dikemas kini selepas JPA mengeluarkan pekeliling untuk mengenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan kepada penjawat awam yang ingkar selepas 1 November lalu.
Menurut beliau, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 tahun 2021 yang dikeluarkan pada 18 Oktober lalu jelas menyatakan, penjawat awam yang tidak mematuhi arahan daripada ketua jabatan untuk mendapatkan dos vaksin Covid-19 selepas tarikh itu boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan. – UTUSAN








