KUALA LUMPUR: Selebriti versatil, Alif Satar mendedahkan impian sejak dari kecil ingin menjadi seorang juruterbang malah kini cita-cita itu masih ada.
Jelas penyanyi Akhiri Penantianku itu, bagaimanapun ikhtiar untuk masuk ke akademi penerbangan masih tergantung apatah lagi usaha untuk bergelar juara dalam program One In A Million tidak berjaya.
“Bagaimana semuanya bermula. Dari kecil asyik memikirkan mahu jadi juruterbang. Tapi dulu, ibu ayah cakap kalau nak ambil lesen kena fikir mana nak cari duit sendiri untuk bayar yuran.
“Kebetulan ada program realiti pertandingan nyanyian ini, aku fikir, kalau menang sejuta ini boleh daftar ke akademi penerbangan.
“Sekali tidak menang. Kita cuma boleh merancang, yang menentukan tetap Dia. Sesungguhnya percaturan Allah untuk kita adalah yang terbaik, Alhamdulillah,” coretnya di Instagram.
Menerusi coretan berkenaan, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu tetap tidak memadamkan cita-citanya.
“Masih tidak akan melepaskan mimpi ketika kanak-kanak, saya tetap mahukan PPL!,” ungkapnya tekad.
Menjengah di ruangan, isteri Alif tampil melayangkan kata-kata perangsang.
“Walaupun saya agak bimbang dengan idea ini, tapi saya tetap sokong walau apa pun. Teruskan usaha untuk impian itu,” komen Shadila Halid.