Jawatankuasa Pilihan Khas Anti-Rasuah Dewan Negara bermesyuarat buat kali pertama - Utusan Malaysia

Jawatankuasa Pilihan Khas Anti-Rasuah Dewan Negara bermesyuarat buat kali pertama

Lukisan haiwan
RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah Dewan Negara yang ditubuhkan dalam usaha mentransformasikan Parlimen, bermesyuarat buat pertama kali hari ini.

Dalam mesyuarat itu, Senator Fadhlina Sidek dilantik sebagai timbalan pengerusi yang turut dianggotai tiga lagi ahli iaitu Senator Datuk Jefridin Atan, Senator Datuk Seri Vell Paari dan Senator Datuk Zaiedi Suhaili.

Pengerusi jawatankuasa itu, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, jawatan kuasa berkenaan mempunyai kuasa perundangan, berkuasa memanggil mana-mana pihak yang berkaitan dengan sesuatu isu mengenai tadbir urus, integriti dan anti-rasuah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini adalah selaras peruntukan Peraturan Mesyuarat 75(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara dan sebarang keengganan atau keingkaran mana-mana pihak hadir di hadapan jawatankuasa, atau mengemukakan dokumen yang diminta oleh Jawatankuasa ini boleh dikenakan hukuman oleh Majlis Mesyuarat selaras dengan kuatkuasa Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 [Akta 347],” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, katanya, Jawatankuasa Pilihan Khas ini juga bertanggungjawab meneliti rang undang-undang, menyiasat dan melaporkan apa-apa cadangan, usul, petisyen, laporan atau dokumen mengenai apa-apa isu yang dibangkitkan berhubung tadbir urus, integriti serta anti-rasuah dan seterusnya perlu dikemukakan kepada majlis mesyuarat Dewan Negara.

“Seterusnya, syor-syor atau cadangan hasil daripada penelitian, siasatan dan laporan berhubung sesuatu isu, setelah melalui segala proses libat urus dengan pemegang taruh dan sesudah mendapatkan pendengaran awam serta pandangan saksi pakar akan dikemukakan melalui penyata Jawatankuasa Pilihan Khas untuk tindakan susulan pihak berwajib.

“Bagi maksud itu, orang ramai boleh mengemukakan petisyen terus kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah berhubung apa-apa isu yang berkenaan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas ini jika mereka mempunyai maklumat kukuh untuk disalurkan.

“Justeru, sesi penerangan mengenai Jawatankuasa Pilihan Khas ini kepada semua Ahli Parlimen akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini