PETALING JAYA: Tiga empangan skim hidroelektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu di Tasik Kenyir, Terengganu; Cameron Highlands, Pahang dan Sungai Perak, Perak, bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat sepanjang musim tengkujuh ini.
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti berkata, TNB telah membuat persiapan awal dengan mengurangkan paras empangan sebagai persediaan menghadapi hujan lebat pada hujung tahun.
Beliau berkata, empangan hidroelektrik TNB bukan sahaja untuk menjana elektrik, malah berfungsi sebagai tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah hujan yang besar semasa musim tengkuh.
“Kapasiti empangan menakung air di huluan ini dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir sungai setiap kali musim tengkujuh.
“Air yang ditakung akan dilepaskan semula secara terkawal ke dalam sungai, seterusnya membantu mengawal banjir di hilir empangan kami,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Nor Azman menjelaskan, proses pelepasan air secara terkawal di empangan hidroelektrik TNB dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.
Katanya, seperti tahun-tahun lalu, TNB juga telah mengadakan beberapa siri taklimat persediaan dan koordinasi kecemasan di stesen-stesen terbabit bagi meningkatkan kecekapan semua pihak yang berkenaan bertindak pada musim banjir.
“Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan aspek keselamatan, sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya premis mereka dinaiki air. Jika ada pencawang elektrik ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat TNB selepas keadaan selamat,” jelas beliau.
Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Careline. – UTUSAN










