PETALING JAYA : Denda RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun.
Itu tindakan yang akan dikenakan terhadap Ibu bapa atau penjaga yang didapati cuai dengan meninggalkan anak bersendirian di dalam kenderaan tanpa pengawasan.
Amaran itu dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai peringatan khususnya kepada ibu bapa kerana mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan itu akan dikenakan tindakan tanpa kompromi.
“Tiada alasan. Tiada kompromi. Kealpaan anda membawa padah. Kecuaian individu meninggalkan kanak-kanak dalam kenderaan tanpa pengawasan adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, beberapa kejadian kanak-kanak maut akibat ditinggalkan di dalam kenderaan dengan kejadian terbaru berlaku di Seremban, Negeri Sembilan pada 12 Oktober lalu.
Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut selepas ditinggalkan kira-kira tiga jam di dalam van di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan.
Pada 28 April lalu pula, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemukan meninggal dunia setelah ditinggalkan lebih lima jam di dalam kereta oleh neneknya di Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru.-UTUSAN ONLINE










